My Add

Saturday 15 October 2011

95% graduan Aswara dapat kerja lepas tamat belajar - Rais

Bernama
SABTU,15 Oktober, 2011: Kira-kira 500 graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) atau 95 peratus daripada mereka yang menamatkan pengajian berjaya memperoleh pekerjaan sebaik tamat pengajian di institusi berkenaan sejak penubuhannya pada 2006. 

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, berkata ramai daripada graduan Aswara kini berjaya menempatkan diri sebagai pakar dalam penulisan novel, drama dan muzikal, sekali gus memberi lonjakan kepada perkembangan industri seni dan kreatif tanah air.

Dr. Rais Yatim

"Situasi ini sedikit sebanyak berjaya memartabatkan industri seni dan mengubah persepsi masyarakat serta ibu bapa bahawa graduan akademi ini pun mampu menyara hidup mereka sebaik tamat pengajian," katanya selepas menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Aswara kelapan di Panggung Eksperimen akademi itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf.

Mengulas lanjut, Rais berkata, berikutan perkembangan positif itu, kementeriannya akan membantu Aswara meningkatkan kepakaran tenaga pengajarnya menerusi jalinan kerjasama dengan institusi di dalam dan luar negara. 

Katanya, ini penting bagi memastikan lebih ramai anak tempatan merebut peluang menerusi industri seni dan kreatif yang mampu menjana pulangan sehingga RM2.8 bilion setahun. 

"Di samping itu Aswara juga yang menerima peruntukan sebanyak RM25 juta daripada Dana Industri Kreatif Negara, akan dibimbing oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dengan pelbagai aktiviti bagi memastikan peruntukan itu digunakan semaksimum mungkin," katanya.

Rais juga mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Khamis lalu tenttang fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi khususnya dalam pentadbiran dan urusan rasmi kerajaan akan dimantapkan berikutan persetujuan Kabinet supaya semua penjawat awam diwajibkan menggunakan bahasa kebangsaan dalam semua urusan rasmi. 

Rais yang memuji kenyataan itu, menegaskan agar tiada mana-mana pihak cuba menggugat langkah dan usaha keras kerajaan dalam menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. 

"Malah kita mahu mereka bersama-sama kita dalam arena perdana ini untuk meningkatkan bahasa Melayu menjadi bahasa yang dibanggakan di bawah Gagasan 1Malaysia," katanya. 

Terdahulu, Rais menyampaikan ijazah dan diploma kepada 369 graduan Aswara dan menganugerahkan Ijazah Kehormat Sarjana Seni kepada tokoh teater, Sufiat Mukti. 

Aswara kini menawarkan tujuh program pengajian diploma dan lima program pengajian ijazah sarjana muda menerusi tujuh fakulti yang memberi penekanan kepada bidang seni, kreatif dan kebudayaan iaitu Muzik, Tari, Penulisan, Teater, Filem dan Video, Sani Halus dan yang terkini Animasi dan Multimedia. 

No comments:

Post a Comment