My Add

Friday 14 October 2011

Akta Murtad: Mufti Kelantan sokong Mufri Perak

Utusan Malaysia
JUMAAT, 14 Oktober, 2011: Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menyokong penuh gesaan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria agar mewujudkan Akta Murtad bagi menghukum individu yang terbukti bersalah memurtadkan orang Islam.

Mohamad Shukri berkata, pelaksanaannya perlu bagi memastikan akidah umat Islam tidak sewenang-wenangnya dipermainkan oleh pihak tertentu.

Namun, katanya, semua pihak mesti berusaha memastikan agar perkara dan unsur yang menjadi penghalang dapat diatasi terlebih dahulu jika Akta Murtad benar-benar mahu dilaksanakan.

"Saya amat mengalu-alukan cadangan beliau (Harussani) dan bersetuju jika ia diwujudkan untuk menjaga akidah umat Islam.

"Tetapi banyak perkara perlu diberi perhatian seperti meminda akta dan peruntukan yang menjadi halangan seperti isu orang bukan Islam tidak boleh dibicarakan di mahkamah syariah," katanya di Kota Bharu, semalam.

Beliau mengulas gesaan Harussani yang mahu Akta Murtad diwujudkan segera kerana gejala itu menjadi seperti virus terhadap orang Melayu Islam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah pula berkata, beliau secara peribadi menyokong cadangan Harussani itu.

Begitupun, katanya, akta yang dicadangkan itu juga harus merangkumi peruntukan undang-undang ke atas golongan yang bertindak keluar dari Islam.

Katanya, penggubalan Akta Murtad tersebut adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan kerana di peringkat negeri, enakmen yang mempunyai objektif serupa telah pun diwartakan.

"Kita sudah ada Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam 1981 yang bermatlamat menghalang unsur luar daripada mempengaruhi akidah penganut agama Islam.

"Namun, peruntukan tegas terhadap orang Islam yang murtad belum ada, bagi pihak kerajaan negeri, kami pernah cuba membawa Rang Undang-undang Persendirian Murtad sebanyak dua kali di Parlimen tetapi ditolak kerana tiada sokongan menteri untuk memberi laluan ia dibahas.

"Kita berharap kerajaan mengambil serius gesaan Harussani sebagai mengukuhkan enakmen sedia ada dan segala perancangan ke arah pelaksanaannya mesti diperhalusi bagi menghalang gejala murtad dalam kalangan umat Islam berleluasa," katanya

No comments:

Post a Comment