My Add

Saturday 15 October 2011

Akta Murtad: Pas tidak boleh berdiam diri

Utusan Malaysia
JUMAAT, 14 Oktober, 2011: Pemimpin utama Pas digesa supaya tidak berdiam diri berhubung cadangan mewujudkan Akta Murtad bagi membendung gerakan memurtadkan umat Islam yang semakin berleluasa di negara ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, sokongan dan kerjasama daripada parti itu penting demi melindungi akidah umat Islam seperti yang telah termaktub di dalam Perlembagaan negara.

Sehubungan itu, beliau mahu pemimpin Pas seperti Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden, Mohamad Sabu menyatakan pendirian mereka berhubung isu itu tanpa mengambil kira perbezaan ideologi dan pegangan politik.

"Sebagai parti yang berlandaskan prinsip perjuangan Islam, Pas harus ke depan dalam hal ini untuk bersama-sama menangani masalah itu secara berhemah.

"Sokongan yang diberi harus dibuat tanpa memihak kepada kepentingan politik parti," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, semalam.  

Baru-baru ini, Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria mencadangkan Akta Murtad bagi menghukum mereka yang terbukti bersalah memurtadkan orang Islam di negara ini.

Harussani mendedahkan seramai 260,000 umat Islam di negara ini telah dikristiankan pada 2008 dengan jumlah yang dikhuatiri meningkat saban hari.

Mukhriz berkata, Pas tidak boleh berdiam diri dan menafikan hakikat bahawa ada usaha oleh pihak-pihak tertentu untuk memurtadkan umat Islam di negara ini.

"Malah tindakan Pas yang tidak menyatakan pendirian berhubung isu itu sebenarnya cukup untuk menjadi penghalang usaha mewujudkan akta itu," katanya.

Dalam pada itu, beliau memuji kenyataan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad yang menyokong Akta Murtad bagi memastikan akidah umat Islam tidak sewenang-wenangnya dipermainkan oleh pihak tertentu.

Mukhriz turut mengingatkan rakyat negara ini supaya tidak memandang serong dan mempersoalkan usaha itu kerana ia membabitkan soal pemeliharaan akidah umat Islam dan tidak menyentuh hak-hak penganut agama lain di negara ini.

"Perlembagaan telah menetapkan orang bukan Islam tidak boleh mendakwah ajaran agama mereka kepada umat Islam.

"Sebarang usaha memesongkan akidah dan kepercayaan umat Islam adalah haram," katanya.

No comments:

Post a Comment