My Add

Saturday 15 October 2011

Aziz Bari enggan mohon maaf, tetap pertahan kenyataan

Utusan Malaysia
JUMAAT, 14 Oktober, 2011: Prof. Dr. Abdul Aziz Bari (gambar) bertegas tidak akan memohon maaf atau menarik balik kenyataannya yang mempersoal titah peringatan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu cubaan memurtadkan umat Islam di sebuah gereja Ogos lalu.

Sebaliknya, beliau tetap dengan pendiriannya bahawa tindakan Sultan Selangor campur tangan dalam isu tersebut sebagai bukan sesuatu yang lazim dan tidak selaras dengan ajaran Islam walaupun pada masa sama, beliau sendiri mengakui hak mutlak baginda selaku Ketua Agama Islam negeri.

Namun, apabila ditanya kenapa beliau selaku pakar Perlembagaan tidak pula mempertikai pihak gereja meskipun tahu, cubaan menyebar agama Kristian kepada umat Islam salah mengikut Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan, Abdul Aziz sekadar berkata, isu itu tidak timbul kerana tiada bukti.

"Minta maaf apa benda? Saya bukan derhaka, bukan saya mempertikaikan kuasa sultan pun. Saya kata apa yang dilakukan oleh Sultan Sharafuddin itu tidak tepat dan adakah itu derhaka? Tunjukkan kepada saya di mana kenyataan saya bersifat kurang ajar dan derhaka kepada sultan?

"Saya cuma tegur apa yang saya fikir tidak tepat. Jadi kenapa saya perlu minta maaf. Kita semua bukan maksum seperti nabi, mesti ada silap dan dalam negara demokrasi, institusi diraja juga tidak terkecuali daripada dinilai dan dikritik oleh rakyat," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, semalam.  

Selasa lalu, pensyarah Undang- Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu mencetuskan kontroversi apabila secara terbuka mempertikai titah peringatan Sultan Sharafuddin dengan mendakwa, tindakan Sultan Selangor tersebut tidak konsisten dan tidak selaras dengan ajaran Islam.

Sedangkan, selaku Ketua Agama Islam negeri, di bawah Artikel 47 dan 48 Undang-Undang Tubuh Perlembagaan Negeri Selangor 1959, baginda bukan sahaja mempunyai hak, malah bertanggungjawab bagi membela, mempertahan, mendaulat dan memartabatkan agama Islam di negeri Selangor.

Dalam perkembangan berkaitan, ditanya adakah kenyataannya yang mendakwa sesetengah raja melanggar garisan mereka dan membelakang Perlembagaan sebagaimana disiar portal berita propembangkang, Malaysiakini, pada Rabu lalu merujuk kepada Sultan Sharafuddin, Abdul Aziz menafikannya.

Katanya, beliau membuat kenyataan itu secara umum tanpa merujuk kepada mana-mana sultan tetapi pada masa yang sama memberi contoh, krisis politik di Perak pada 2009 membuktikan bagaimana raja telah bertindak melanggar garisan walaupun pada hakikat sebenar ia mengikut undang-undang.

Mengenai pandangan pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin bahawa beliau seorang tenaga akademik yang propembangkang dan berpihak, Abdul Aziz turut menafikan pandangan tersebut dengan berkata: "Saya pro kepada kebenaran dan tugas saya mendidik,".

Sementara itu, Abdul Aziz yang berang dengan kecaman Zulkifli terhadapnya mencabar wakil rakyat Bebas berkenaan berdebat secara terbuka pada bila-bila masa dalam soal Perlembagaan Persekutuan, jika bekas peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim tersebut merasakan dirinya lebih pakar dalam aspek Perlembagaan.

"Cabaran Zulkifli supaya saya meletakkan jawatan paling tidak siuman. Sepatutnya dia yang letak jawatan dan masuk bidang akademik. Kita tengok sejauh mana kepakaran dia dalam aspek Perlembagaan. Saya tidak berminat dengan politik tetapi sedia berdebat dengannya pada bila-bila masa," cabarnya.

No comments:

Post a Comment