My Add

Wednesday 12 October 2011

Aziz Bari, Malaysiakini dibidas pertikai titah Sultan Selangor

[sultan_selangor.png]
Sultan Sharafuddin Idris Shah
Utusan Malaysia
RABU,12 Oktober, 2011: Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) membidas tindakan pakar Perlembagaan, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari yang mempertikaikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja di Damansara Utama Ogos lalu.

Yang Dipertuannya, Azwandin Hamzah berkata, kenyataan itu menunjukkan Abdul Aziz tidak faham dan tidak menghormati kuasa yang ada pada Sultan sebagai ketua agama Islam.

Katanya, sultan bukan sahaja menegur tetapi mahu bertindak adil kepada kedua-dua pihak supaya tidak timbul ketegangan.

''Saya rasa pandangan itu tidak ikhlas, silap dan mempunyai agenda peribadi untuk kepentingan beliau sendiri. Saya juga tidak menolak kemungkinan ia adalah agenda pihak tertentu yang ingin menggunakan beliau,'' katanya dihubungi, di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam kenyataan yang disiarkan oleh portal pro pembangkang Malaysiakini, Abdul Aziz dipetik sebagai berkata, tindakan Sultan Selangor campur tangan berhubung isu pemeriksaan gereja tersebut bukan sesuatu tindakan yang lazim.

Menurut Abdul Aziz, sebagai ketua agama Islam negeri itu baginda mempunyai hak untuk campur tangan tetapi ia perlu dilakukan selaras dengan ajaran Islam.

Malahan beliau secara terbuka menyifatkan tindakan Sultan Selangor dilihat tidak konsisten.

Sementara itu, pelbagai pihak turut membidas Malaysiakini kerana menyiarkan komen-komen yang mempertikaikan titah Sultan Selangor dalam isu berkenaan.

Komen-komen pembaca tersebut dibuat bagi mengulas kenyataan Abdul Aziz.

Melalui komen-komen yang disiarkan itu, terdapat pembaca yang mempertikaikan titah Sultan Selangor dengan menuduh baginda memihak kepada UMNO dalam membuat keputusan dan ada juga komen pembaca yang sanggup mempertikaikan kedudukan sultan sebagai ketua agama negeri yang dilantik.

Mengulas tindakan tersebut, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, perbuatan portal itu menyiarkan komen-komen sedemikian perlu diberi perhatian serius dan tindakan segera harus diambil terhadap mereka kerana perbuatan berkenaan amat tidak bertanggungjawab.

Katanya, tindakan tersebut bukan sahaja mencabar kredibiliti Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menjalankan siasatan ke atas gereja berkenaan malah turut melibatkan kredibiliti Sultan Selangor selaku ketua agama Islam di negeri itu.

"Malaysiakini gagal menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah pertubuhan media yang berhemah. Tindakan menyiarkan komen-komen terbabit ternyata mencemarkan kredibiliti Sultan Selangor sebagai ketua agama.

"Tindakan tegas perlu dikenakan terhadap mereka. Perkara seumpamanya tidak boleh dibiarkan kerana kita khuatir ia akan menjejaskan imej agama dan juga sultan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Malaysia (GNM), Mohd. Jurit Ramli pula meminta umat Islam bersikap berkecuali dan tidak mengambil kira untung atau rugi dari sudut politik apabila membincangkan soal akidah.

Katanya, tindakan mempertikaikan titah Sultan Selangor itu tidak sepatutnya berlaku jika umat Islam memikirkan kesannya terhadap agama.

"Kita tidak boleh berkompromi dalam isu akidah Islam. Perkara seumpama ini tidak boleh dipolitikkan kerana apa yang haram tetap haram, apa yang halal tetap halal," jelasnya.

Beliau juga menggesa menggesa tindakan segera diambil terhadap portal berita berkenaan supaya kejadian sama tidak berulang.

"Malaysiakini seharusnya menapis terlebih dahulu komen-komen yang ingin disiarkan kerana khuatir ia boleh memberi kesan negatif terhadap sesuatu agama atau kaum.

"Saya tidak pasti apa tujuan mereka menyiarkan komen-komen yang mempertikaikan titah baginda sultan. Kemungkinan besar mereka mempunyai niat tertentu untuk memburukkan imej sultan dan perkara ini perlu diperjelaskan," ujarnya

No comments:

Post a Comment