My Add

Sunday 16 October 2011

Bajet 2012 bukti kerajaan fahami denyut nadi rakyat - Najib


Najib mengibarkan Jalur Gemilang bersama ahli GERAKAN ketika menghadiri Persidangan Perwakilan Nasional ke-40 2011 di Menara PGRM di Kuala Lumpur, hari ini. 

Bernama
AHAD,16 Oktober, 2011: Bajet 2012 adalah belanjawan yang paling banyak diperkatakan kerana rakyat merasakan kerajaan memahami tuntutan dan denyut nadi mereka, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, kerajaan telah mendengar kehendak dan masalah rakyat sebelum diterjemahkan dalam Bajet 2012 dan pelbagai inisiatif lain.

"Kalau rakyat rasakan tekanan daripada kos sara hidup yang semakin meningkat, kita mesti tangani masalah ini. Jadi pertama kali dalam sejarah kita, kita beri RM500 kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah.

"Kuota kaum tidak ada. Tidak ada kuota wilayah, dari Perlis, Padang Besar sampai ke Semporna. Daripada petani ke lanun tapi bukan lanun sebenarnyalah. Ini dia bajet rakyat.

"Kita catat sejarah sebab kita telah baca apabila kita mendengar kehendak rakyat. Sara hidup, perumahan, pendidikan, kesihatan, ini empat perkara keperluan asas rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-40 di Menara PGRM di Kuala Lumpur, hari ini.

Najib berkata, Bajet 2012 yang kerap diperkatakan juga telah menenggelamkan belanjawan bayangan yang dibentangkan oleh pembangkang. – Bernama

BN akan buat pelarasan pembahagian kerusi pilihan raya

Najib berkata, Barisan Nasional (BN) akan memulakan proses pelarasan kepada formula pembahagian kerusi pilihan raya yang kini diguna pakai bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, pelarasan tersebut perlu untuk menyesuaikan dengan keadaan setempat sama ada telah berlaku perubahan politik dinamik.

"Formula pembahagian kerusi dibuat pada 2004 dan dipakai pada 2008. PRU ini kita kena tengok sama ada berlaku perubahan politik dinamik yang menyebabkan kita perlu pelarasan.

"Kita akan runding dengan pemimpin-pemimpin parti BN untuk mencari formula terbaik dalam pembahagian kerusi,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Perwakilan Kebangsaan Parti Gerakan ke-40 di Menara PGRM di sini, hari ini.

Katanya, semua pemimpin parti-parti komponen BN pada asas dan semangatnya bersetuju untuk bertolak ansur dan beliau akan berunding dengan pemimpin-pemimpin parti komponen itu bagi mencari formula baru terbaik itu.

No comments:

Post a Comment