My Add

Friday 14 October 2011

Bekas wakil rakyat mohon dipertimbangkan imbuhan

Oleh OPAT RATTANACHOT
Utusan Malaysia

JUMAAT, 14 Oktober, 2011: Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) memohon kerajaan menimbang pemberian wang bantuan atau imbuhan kepada anggotanya seperti mana yang diperoleh pesara kerajaan dalam pengumuman Bajet 2012 baru-baru ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Paduka Abdul Rahman Ibrahim berkata, seramai 1,000 bekas wakil rakyat amat berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan pemberian imbuhan sekurang-kurangnya RM500 seorang seperti mana yang bakal dinikmati pesara kerajaan pada November ini.

"Kerajaan ada membuat penambahbaikan kaedah persaraan kepada penjawat awam, tetapi bekas wakil rakyat tertinggal dan tidak dimasukkan dalam kajian semula itu.

"Begitu juga pada masa pesara mendapat pemberian khas sebanyak RM500, kami tidak menerimanya. Kita harap Perdana Menteri dapat buat pertimbangan sewajarnya,” katanya selepas mengunjungi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas, Che Pora Omar di Kampung Keladi, di Kulim, hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden Mubarak Kedah, Datuk Abd. Razak Hashim; Setiausahanya, Datuk Hadzir Ismail; dan Ketua Penerangan, Datuk Ariffin Man.

Abdul Rahman berkata, pemberian imbuhan terbabit dianggap wajar memandangkan anggota Mubarak selama ini banyak membantu kerajaan khususnya Barisan Nasional (BN) menganjur program untuk menawan semula kerusi daripada pembangkang.

"Biarpun ada di antara kami sudah lanjut usia dan uzur, namun kami tidak pernah lupakan tugas membantu kerajaan seperti penerangan isu semasa dan khidmat nasihat kepada masyarakat setempat,” katanya.

Pada majlis itu, Abdul Rahman menyampaikan sumbangan daripada Mubarak kepada Che Pora, 72, dan suaminya, Abu Hasan Ismail, 74, yang kini kabur penglihatan.

Che Pora merupakan bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Padang Serai dari 1970 hingga 1990 dan pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara dari 1992 hingga 1995.

Beliau menjadi ADUN Merbau Pulas selama dua penggal bermula 1992 hingga 1999. 

No comments:

Post a Comment