My Add

Saturday 15 October 2011

Briged Sukarela PLKN diwujudkan tiga bulan lagi

Najib Tun Razak menerima bendera PLKN daripada Presiden Alumni PLKN, Muhammad Yassin Musa ketika Pelancaran Program Anak 1Malaysia di Stadium Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. – utusan/Hafiz Khosmat

Bernama
SABTU, 15 Oktober, 2011: Briged Sukarela Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan ditubuhkan dalam tempoh tiga bulan lagi khusus untuk bekas pelatih program itu.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abd. Hadi Awang Kechil berkata, penyertaan dalam briged itu dijangka mencecah 600,000 orang berdasarkan jumlah pelatih program itu sehingga ini.

"Semua bekas pelatih secara automatik adalah anggota briged...namun mereka dibolehkan menolak daripada menyertainya,” katanya kepada pemberita selepas melawat pameran ‘Kami Anak 1Malaysia’ di Stadium Hoki Bukit Jalil dekat sini.

Abd. Hadi berkata, bekas pelatih yang berminat untuk menyertai briged itu hanya perlu menghubungi kem PLKN berhampiran tempat tinggal, tempat kerja atau tempat pengajian mereka.

Mereka juga boleh membuat permohonan dengan melayari laman web rasmi JLKNwww.khidmatnegara.gov.my.

Sementara itu, Wartawan UtusanMalaysia, Raja Syahrir Abu Bakar dan Muhamad Aimy Ahmad melaporkan,Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Briged Sukarela Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang akan digerakkan bagi membantu mangsa kejadian bencana dalam negara pada masa depan.

Perdana Menteri berkata, briged itu akan dianggotai oleh alumni PLKN dan berpangkalan di lebih 80 kem latihan program itu di seluruh negara.

“Mereka akan membantu dalam sebarang malapetaka seperti banjir, tanah runtuh, kebakaran dan puting beliung.

“Sekretariat Alumni PLKN yang ada sekarang ini akan turut menjadi sekretariat Briged Sukarela PLKN,” katanya ketika berucap melancarkan Program Kami Anak 1Malaysia di Stadium Hoki Bukit Jalil, Kuala , malam tadi.

Program Kami Anak 1Malaysia berkenaan menumpukan kepada aktiviti sosial di kalangan bekas pelatih PLKN bagi memastikan hubungan di antara mereka berterusan selepas berpisah apabila tamat latihan selama tiga bulan.

Kira-kira 15,000 pelatih serta bekas pelatih PLKN hadir pada majlis tersebut yang turut menampilkan pelbagai persembahan oleh kira-kira 1,500 pelatih PLKN.

Sementara itu, Najib mengingatkan semua pelatih dan lebih 5,000 alumni PLKN di seluruh negara supaya tidak melupakan agenda pembinaan negara bangsa demi kesejahteraan Malaysia pada masa depan.

“Ujian sebenar bukanlah sewaktu latihan tiga bulan tersebut tetapi keberkesanannya ialah dalam 30 tahun akan datang dan negara bergantung kepada produk (pelatih) PLKN,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment