My Add

Tuesday 11 October 2011

DAP dah 'tunjuk kuasa' mahun Nizar MB jika menang PRU13


Oleh Yusof Harun
Agendadaily

SELASA, 11 Oktober, 2011: Peluang calon PKR ataupun DAP menjadi Menteri Besar Perak kini nampak macam tertutup rapat.Ini adalah ekoran dari keputusan DAP berkehendakkan mantan Menteri Besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin diberi peluang mengekalkan kedudukannya jika pakatan pembangkang menang semula negeri itu dalam pilihanraya umum ke13.

DAP Perak yang mahu menunjukan kuasa “veto” dalam hal-hal perlantikan Menteri Besar Perak telah mendapat “endorsement” dari DAP Pusat.

Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng mengesahkan kepada media bahawa parti itu dalam mesyuarat hari ini (Ahad) menyokong penuh perlantikan Nizar jika pembangkang berjaya memerintah semula Perak. 

Keputusan DAP ini agak memeranjatkan umum kerana ia dilihat sebagai strategi parti itu awal-awal lagi bertindak menghalang calon-calon PKR ataupun calon-calon lain dalam PAS dipilih ke jawatan tersebut.

Langkah DAP ini dilihat sebagai cuba menyekat PAS mengemukakan calon lain selain dari Nizar ke jawatan MB. PAS sendiri setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara ini.

PKR juga dikatakan mempunyai calon sendiri jika PR muncul sebagai pemenang dalam pilihanraya kelak. Namun PKR juga seperti PAS masih membisu kerana tidak mahu menjejaskan persiapan menghadapi pilihanraya ini.

Juga timbul tandatanya apakah ia petanda DAP tidak akan letak calon Melayu bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri kali ini.

Siapa tahu ia juga salah satu strategi DAP untuk memancing undi orang Melayu negeri itu dalam pilihanraya umum akan datang menerusi pengumuman berkenaan.

Walaupun Nizar dilihat calon favorite DAP banyak isu-isu dilihat boleh menghalang perlantikannya.

Salah satu isu yang penting ialah sama ada pihak lstana boleh memberikan “lampu hijau” kerana sewaktu menjadi Menteri Besar Perak dulu, Nizar dilihat banyak menimbulkan kontroversi dengan pihak lstana.

Bagi pemerhati politik, isu sembah derhaka yang dilafazkan Nizar kemuncak dari krisis “MB Perak” tempoh hari masih sukar dipadam dari pemikiran umum khususnya mereka yang rapat dengan lstana.

Seperti umum ketahui masyarakat Melayu di negeri ini tidak suka seorang Menteri Besar mengeluarkan kata-kata bersifat “derhaka” serta bersikap membelakangkan lstana.

Kemudian Nizar juga berdepan isu-isu seperti isu Ancak dan isu nyala lilin ketika DAP mengadakan upacara memperingati kematian Teoh Beng Hock tempoh hari. Nizar dilihat turut sama hadir dengan memegang lilin yang kemudian perkara ini diulas Mufti Perak serta pihak PAS pusat sendiri.

Bagi kebanyakan ahli-ahli PAS khususnya di peringkat pusat, imej Nizar sedikit tercemar dan dilihat sebagai liability kepada perjuangan PAS di negeri ini dan juga diperingkat kebangsaan.

Jika desas desus ini ada kebenaran maka PAS secara diam-diam dikatakan seperti sudah ada calon lain sebagai Menteri Besar jika parti itu berkuasa semula, namun hal ini masih menjadi rahsia sehinggalah keputusan pilihanraya ke13 diketahui kelak.

Nizar dilihat bukanlah calon utama pilihan PAS kali ini berbanding tahun 2008.

Pemerhati politik juga berpendapat Nizar menjadi pilihan DAP adalah kerana Nizar dilihat jarang membantah kehendak DAP meskipun dalam banyak hal, hala tuju Nizar ketika itu merugikan PAS.

Malah apa yang dibimbangkan ahli-ahli PAS diperingkat akar umbi ialah dakwaan bahawa Nizar ialah boneka DAP seperti sukar diketepikan dengan pengumuman Guan Eng ini.

Untuk rekod Nizar ialah Menteri Besar ke10 setelah pembangkang berjaya mencipta kemenangan dalam pilihanraya umum 2008 sebelum tiga ADUN mereka keluar meninggalkan PR menjadi calon bebas yang menyokong BN.

Nizar terpaksa dipilih jadi Menteri Besar kerana calon PKR yang mempunyai lebih kerusi dari PAS waktu itu didapati tidak mempunyai kriteria ‘ layak’.

DAP pula tidak mempunyai calon Melayu ketika itu.

Ekoran dari tindakan tiga adun bebas ini, kerajaan pakatan pembangkang tumbang lalu digantikan dengan kerajaan BN.

Menurut Guan Eng semua pimpinan tertinggi parti berkenaan juga telah menyuarakan persetujuan untuk menyokong Nizar bagi menjawat jawatan berkenaan setelah memikirkan kesesuaian calon sedia ada.

Dalam konteks ini DAP Perak juga berjanji untuk memberi sokongan penuh kepada Nizar. “Kita sentiasa sokong Nizar sebagai Menteri Besar kerana beliau adalah calon yang paling layak untuk menjawat jawatan tersebut.

“Yang penting bagi kita adalah untuk terus berjuang membela nasib rakyat di negeri ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment