My Add

Monday 10 October 2011

DAP ulangi amaran


Oleh Shamsul Kamal Amarudin
Berita Harian

Tolak laksana Hudud jika pembangkang tawan Putrajaya 


ISNIN, 10 Oktober, 2011: DAP mengulangi amarannya semua 30 anggota jawatankuasa tertinggi parti itu akan meletakkan jawatan jika hukum Hudud mahu dilaksanakan di negara ini kerana tidak mahu dicap sebagai pemimpin tidak bertanggungjawab kerana membenarkan undang-undang jenayah Islam itu dilaksanakan.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, berkata parti itu tetap dengan pendiriannya menolak pelaksanaan hukum Hudud jika pakatan pembangkang berjaya menguasai Kerajaan Persekutuan kerana ia tiada dalam manifesto bersama pakatan itu dan tidak disebut dalam Buku Jingga.

“Kalau boleh buktikan bahawa kita nak laksanakan Hudud sama ada dalam manifesto bersama atau Buku Jingga, ini menunjukkan pemimpin DAP tidak menjalankan tugas kerana kita cakap masuk Putrajaya bukan nak melaksanakan Hudud. 

"Kita akan bertanggungjawab meletakkan jawatan sebagai pemimpin dalam DAP, bukan saya saja, tetapi semua 30 jawatankuasa kepimpinan tertinggi DAP untuk menunjukkan kita bertanggungjawab. 

“Kita bekerjasama (dengan Pas dan PKR) atas prinsip yang dipersetujui bersama iaitu lawan rasuah, lawan penyalahgunaan kuasa, lawan BN,” katanya merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Perak Ke-16 di Ipoh, semalam. 

Ditanya bagaimana boleh timbul isu Hudud, Guan Eng berkata: “Itulah, itu kerana dipermainkan oleh media, bila kita tanya (Datuk) Nik Aziz (Nik Mat), dia cakap itu bukan seperti yang dimaksudkan.. itu sebab saya rasa media bukan dikuasai oleh kita, saya pun banyak kali menjadi mangsa, jadi saya tahulah. 

“Apabila kita nak menjelaskan, itu tidak dijelaskan (dalam media), itu yang menjadi sebab, biarlah kita memperjelaskan di sini iaitu dari segi kerjasama ia hanya berdasarkan asas-asas iaitu apa yang terkandung dalam Buku Jingga dan manifesto bersama." katanya

Beliau juga menganggap kemunculan semula isu Hudud adalah sebahagian daripada perang psikologi berikutan demam pilihan raya sekarang dan menjangka lebih banyak perang psikologi akan muncul dan perlu diperjelaskan pada masa depan. 

Katanya, parti itu sudah banyak kali dituduh melakukan perkara yang mereka tidak boleh lakukan tetapi akan terus berhujah berdasarkan polisi dan fakta serta mengingatkan parti dalam pakatan pembangkang bahawa musuh utama mereka ialah BN. 

“Saya tidak mahu bercakap perkara berbentuk hipotesis, kerana adalah mustahil untuk melaksanakannya (hukum Hudud di Malaysia) kerana kedudukan Perlembagaan kita. 

“Itu adalah perkara yang bukan saja berlaku sekarang tetapi 10 tahun lalu,” katanya. 

Sementara itu, beliau juga enggan mengulas laporan sebuah akhbar bahasa Inggeris semalam yang memetik kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gasing dari DAP, Edward Lee, yang dilaporkan menggugut akan keluar parti itu jika tidak dicalonkan semula pada pilihan raya umum akan datang. 

Berhubung kenyataan Ahli Parlimen pakatan pembangkang yang mahu elaun anggota Dewan Rakyat dinaikkan seperti diumumkan dalam Bajet 2012, Guan Eng meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menyebut nama Ahli Parlimen berkenaan supaya beliau boleh mendapatkan penjelasan daripada individu terbabit. 

Beliau berkata, pakatan pembangkang sebelum ini meminta kerajaan memberi peruntukan tambahan bagi membolehkan mereka menggaji sekurang-kurangnya tiga pembantu serta menguruskan pejabat peribadi masing-masing.

SEBAHAGIAN ahli pertubuhan bukan kerajaan mengadakan bantahan menuntut Lim Guan Eng menghadap Sultan Johor di Segamat semalam.

No comments:

Post a Comment