My Add

Saturday 15 October 2011

Gerakan nak menang lebih kerusi, termasuk Parlimen Taiping

Bernama
SABTU, 15 Oktober, 2011: parti Gerakan mahu memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum akan datang, termasuk kerusi Parlimen Taiping yang sebelum ini diserahkan untuk ditandingi Parti Progresif Penduduk (PPP).

Bercakap di hadapan perwakilan Majlis Anggota Seumur Hidup di Kuala Lumpur, hari ini, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata beliau telah mengarahkan jentera pilihan raya parti agar memastikan semua penyandang dapat mempertahankan kerusi masing-masing selain berusaha memenangi kerusi lain.

Koh Tsu Khoon
Mengakui tugas itu sukar, Koh yang mempengerusikan persidangan berkenaan selepas Pengerusinya Tun Dr Lim Keng Yaik tidak dapat hadir akibat jangkitan pneumonia, bagaimanapun percaya matlamat tersebut dapat dicapai.

"Walaupun kita mempunyai hampir 28,000 anggota baru tetapi ini bukan jaminan (untuk mencapai kejayaan), namun apa yang penting bagi kita ialah melangkaui 2 + 8," katanya.

Mengakui betapa pentingya Gerakan memenangi kerusi yang ditandingi kelak demi kelangsungan parti itu, Koh mahu perwakilan yang menghadiri Persidangan Perwakilan Kebangsaan (NDC) bermula hari ini mengemukakan formula kemenangan kepada parti.

"Kita mesti berusaha ke arah itu, mesti mensasarkan untuk menang lebih daripada dua kerusi (Parlimen), kita harus menetapkan KPI (Indeks Prestasi Utama) selepas NDC ini (bagaimana mahu memenangi lebih banyak kerusi)," katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, Gerakan merekodkan prestasi paling buruk apabila tewas semua kerusi di Pulau Pinang yang merupakan pangkalannya, selain hanya menang dua kerusi Parlimen iaitu Simpang Renggam (Johor) dan Gerik (Perak), serta empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mengenai hasrat bertanding semula di Taiping, Koh berkata: "Kami parti Gerakan sangat pemurah, kita benarkan kawan kita dari PPP untuk bertanding di Taiping dua kali, tetapi kali ini kita mahu kembali kerusi Taiping.".

Wanita Gerakan diminta dedah, serang balas pembohongan pembangkang

Sementara itu, Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn pula menggesa pergerakan wanita parti itu supaya mendedahkan dan menyerang balas taktik kotor pembangkang untuk menipu rakyat.

Beliau berkata, Wanita Gerakan juga perlu menjelaskan kepada orang ramai bahawa pembangkang tidak mampu menjadi parti alternatif yang boleh memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

"Wanita Gerakan perlu menjelaskan kepada rakyat Malaysia bahawa Pakatan Rakyat tidak boleh dipercayai dan kita tidak boleh menyerahkan nasib kita ke tangan mereka. 

"Mereka (parti pembangkang) bekerjasama semata-mata kerana mereka benci kepada Barisan Nasional (BN), sedangkan anda dapat melihat mereka sentiasa berbeza pendapat mengenai banyak isu, termasuk hukum Hudud,” kata Chang ketika merasmikan persidangan Perwakilan Kebangsaan Wanita Gerakan 2011 di Kuala Lumpur, hari ini. 

Beliau berkata, pembangkang sanggup melakukan apa saja untuk menyemai bibit kebencian terhadap BN dalam kalangan rakyat. 

Sambil mengajak anggota Wanita Gerakan merenung semula kekalahan paling teruk dalam sejarah parti itu pada pilihan raya umum lalu, Chang menasihati mereka supaya mengambil iktibar daripada kesilapan lampau dan melengkapkan diri masing-masing dengan ilmu serta kemahiran untuk menangkis propaganda pembangkang.

"Pada pilihan raya 2008, kita jadi mangsa, banyak isu kita tak balas balik kerana menyangka tidak ramai orang menggunakan Internet. Ternyata, kita silap. Kesilapan ini membawa padah besar kepada kita. Sekarang, kita kena balas balik serangan mereka. 

"Cara mereka yang tidak bertanggungjawab itu perlu didedahkan dan dilawan. Semoga kali ini, kita tidak lagi menjadi mangsa perbuatan mereka yang tidak beretika," katanya. 

No comments:

Post a Comment