My Add

Saturday 15 October 2011

Hamad Kama Piah Tokoh Ahli Perniagaan 2011

Hamad Kama Piah Che Othman (tengah) menerima anugerah Tokoh Ahli Perniagaan 2011 daripada Omar Osman (kiri) sambil diperhatikan oleh Ishak Ismail di Pulau Pinang, semalam.

Utusan Malaysia
JUMAAT, 14 Oktober, 2011: Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman hari ini dipilih sebagai Tokoh Ahli Perniagaan 2011 oleh Akademi Pengurusan Asia (AAM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Anugerah itu disampaikan oleh Presiden AAM, Zamri Ahmad selepas selesai Hamad Kama Piah menyampaikan ucaptama bertajuk Transforming AsianBusiness Through Innovation for a Sustainable Tomorrow pada Persidangan Akademik Pengurusan Antarabangsa Peringkat Asia 2011 yang dianjurkan Pulau Pinang.

Naib Canselor USM, Datuk Omar Osman berkata, Hamad Kama Piah dipilih berdasarkan ketokohan, kewibawaan dan kejayaan yang ditempa beliau selama 32 tahun berkecimpung dalam bidang pelaburan terutama kejayaannya menjadikan PNB sebagai entiti pelaburan paling berjaya di dunia.

Omar berkata, sehingga kini tiada sebuah firma pelaburan seumpama PNB yang berjaya ditubuhkan meskipun banyak negara cuba menirunya.

"PNB berjaya menggemblengkan wang pelaburan rakyat dan sentiasa memastikan wang pelabur tersebut terpelihara dan di sebalik kejayaan ini, kita sepatutnya mengiktiraf Hamad Kama Piah.

"Beliau berjaya membawa PNB ke mercu kejayaan setanding syarikat milik kerajaan (GLC) yang lain seperti Petronas dan Khazanah Nasional Berhad. Pemilihan beliau bertepatan kerana ketokohannya setanding dengan penerima-penerima sebelum ini," katanya selepas merasmikan persidangan itu di sini hari ini. Turut hadir Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Prof. Datuk Ishak Ismail.

Persidangan yang diadakan selama tiga hari bermula hari ini bertujuan membincangkan beberapa perkara mengenai pasaran kewangan Asia serta etika dan tanggungjawab sosial korporat.

Sementara itu Zamri memberitahu, sebelum ini anugerah yang sama telah diberikan AAM dan USM kepada lapan tokoh lain antaranya mendiang Tan Sri Beck Nelson dari United Plantations, Tan Sri Fumihiko Konishi (Texchem Corporation), Datuk Jamaluddin Ibrahim (Maxis), Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan (Media Prima) dan Datuk Seri Eleena Azlan Shah (Gamuda Berhad).

Menurut Zamri, selain Hamad Kama Piah, pada majlis itu pihaknya turut menganugerahkan keahlian sepanjang hayat kepada empat tokoh yang telah mempamerkan ciri-ciri kepimpinan yang berkarisma dan berwibawa dalam bidang akademik dan industri.

"Selain Naib Canselor USM (Datuk Omar Osman), tiga lagi penerima ialah Naib Canselor Universiti Antarabangsa Albukhary, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak; Pengarah Urusan Texchem Corporation, Brian Tan dan Pengarah urusan Seletra Industries, Tahiruddin Tun Hamdan," katanya.

No comments:

Post a Comment