My Add

Saturday 15 October 2011

Jangan terpedaya dengan janji-janji pembangkang - Muhyiddin

Bernama
SABYU, 15 Oktober, 2011: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengingatkan rakyat supaya mensyukuri segala usaha yang dilakukan kerajaan bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka dan tidak terpedaya dengan janji-janji kosong yang ditaburkan pembangkang.

Katanya, kerajaan sentiasa prihatin akan masalah rakyat dengan merangka pelbagai program demi manfaat mereka tetapi pembangkang sentiasa suka mencari kesalahan kerajaan.

"Bukan mudah sebenarnya untuk menjadi kerajaan sedangkan pembangkang hanya pandai menabur janji tetapi tidak pernah menunaikannya, katanya semasa berucap di hadapan 10,000 penduduk dan peniaga selepas meninjau kawasan pasar Ampangan dan sekitarnya di Seremban, hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan turut menemani Muhyiddin untuk melakukan tinjauan itu.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kenaikan kos hidup yang semakin meningkat merupakan satu agenda penting yang mendapat perhatian utama kerajaan.

Katanya, beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selalu bertemu rakyat terutamanya golongan petani dan nelayan dan mereka berpendapat kenaikan kos sara hidup harus ditangani dengan serius.

Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membuat perjumpaan dengan peniaga di gerai perniagaan dan kawasan sekitar Pasar Ampangan, Seremban, hari ini. - Foto Dzulkeffli Mustapha
"Semasa saya menjadi Menteri Pertanian, harga ayam adalah RM5 sekilo dan hari ini ia sudah naik kepada RM8.50 sekilo. Saya ingin mengingatkan rakyat bahawa kenaikan kos sara hidup bukan dinaikkan oleh kerajaan dan ini biasanya berkaitan dengan kos tinggi yang terpaksa ditanggung oleh peniaga,” katanya.

 

Berucap di majlis ramah mesra dan lawatan ke Rumah Pangsa Senawang 2, Taman Seri Mawar, Tan Sri Muhyiddin berkata, Belanjawan 2012 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, bukan melibatkan soal politik semata-mata, tetapi untuk memastikan masa depan rakyat terjamin.

Katanya, belanjawan tersebut yang bersifat sentuhan adalah mencakupi semua bidang yang menyentuh hati rakyat dan mengambil kira semua kumpulan masyarakat.

Katanya, semua perkara yang berlaku dalam masyarakat, yang berkaitan kehidupan, pendapatan, saraan, pencen telah dirangkumkan dalam belanjawan tersebut.

"Barisan Nasional (BN) sudah mentadbir negara selama 54 tahun, Pakatan Rakyat tidak sampai setahun jagung. Sebab itu kita dengar pelbagai isu dan masalah yang mereka hadapi dan bergaduh sesama sendiri.

"Dalam satu pasukan juga tidak sepakat (berkaitan hukum hudud). Ada kenyataan yang dibuat oleh pihak pembangkang bertentangan di antara satu sama lain. Bagaimana nak mentadbir negara jika tidak ada pendapat yang sama,” katanya.  

 

No comments:

Post a Comment