My Add

Monday 10 October 2011

Kemampuan kerajaan tidak harus dipersoal - Zahid Hamidi

AHAD, 09 Oktober, 2011: Kemampuan kerajaan melaksanakan Bajet 2012 tidak harus dipersoal kerana komitmen yang ditunjukkan sebelum ini sudah memadai untuk membuktikan keprihatinan dalam soal kebajikan rakyat di samping memastikan pembangunan negara terus berjalan lancar.

Berbanding pembangkang dan Buku Jingga mereka yang disifatkan tidak masuk akal dan bersifat populis semata-mata, kerajaan dilihat realistik dan berkemampuan dalam memenuhi keperluan rakyat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, komitmen kerajaan meningkatkan perkembangan ekonomi daripada 4.7 peratus kepada 5.5 peratus tahun ini membuktikan kecekapan pengurusan kewangan negara di bawah pemerintahan sedia ada.

Kata beliau, rizab negara juga semakin meningkat meskipun ekonomi dunia semakin mencabar, menjadikan Malaysia kekal di tahap negara berpotensi menjadi negara maju di samping berpendapatan tinggi.

"Kerajaan sebenarnya mempunyai perancangan yang lebih teliti dan komprehensif untuk membantu rakyat, berbeza dengan pembangkang yang rancangan mereka hanya di atas kertas. Malah banyak elemen daripada manifesto pilihan raya umum dahulu pun mereka (pembangkang) belum laksanakan.

"Memang mudah untuk merancang apatah lagi membantah, namun mereka masih tidak mampu melakukan sebarang pelaksanaan walaupun hanya memerintah beberapa negeri," katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Lumpur. hari ini.

Ahmad Zahid turut menyifatkan pembangkang kini sudah ketandusan idea untuk menyerang Bajet 2012 berikutan ia sangat baik sehingga mereka berasa tergugat.

Jelasnya, ini ditambah dengan pembentangan belanjawan bayangan pembangkang yang tidak berlandaskan statistik kukuh dan jauh sekali daripada asas untuk memantapkan ekonomi negara.

"Rakyat semakin sedar dengan putar belit pembangkang dan mula menyedari keikhlasan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memfokuskan secara holistik kepada semua kumpulan sasar," ujarnya.

Perkara sama turut disuarakan Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha yang menyifatkan tindakan pembangkang yang kurang mengkritik bajet tersebut membuktikan ia sangat baik sehingga mereka sudah tiada modal untuk bersuara.

"Keprihatinan Perdana Menteri dalam mendengar denyut nadi rakyat sememangnya meresahkan pembangkang, namun mereka seperti tergamam untuk membantah. Bajet kerajaan kali ini merangkumi pelbagai aspek secara holistik dan yang terpenting ia mampu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya," ujarnya.

Cho Ha turut memuji kearifan Najib dalam mengupas segala rintihan rakyat di bawah pentadbirnya terutama dalam menangani tekanan ekonomi seperti inflasi serta kenaikan kos sara hidup.

No comments:

Post a Comment