My Add

Wednesday 12 October 2011

Kerajaan timbang opsyen kurangkan beban pengguna tol

Bernama
RABU, 12 Oktober, 2011: Kerajaan sedang mempertimbangkan opsyen 
bagi meringankan beban pengguna Lebuhraya Cheras-Kajang sekiranya kadar tol 
lebuh raya itu dinaikkan pada 2013.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor, berkata berdasarkan perjanjian konsesi, kadar tol lebuh raya itu akan dinaikkan pada 2013.

 "Pada masa kini, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kewangan serta
Unit Kerjasama Awam-Swasta (Ukas) di Jabatan Perdana Menteri sedang berunding bagi meneliti cadangan dan implikasi opsyen berkenaan sebelum ia dikemukakan untuk pertimbangan dan persetujuan jemaah menteri," katanya. 

Shaziman berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Tan Kok Wai 
(DAP-Cheras) yang bertanya mengenai usaha kerajaan untuk membantu meringankan beban pengguna lebuh raya yang diuruskan oleh Grand Saga Sdn Bhd. 

Mengenai jumlah kutipan tol lebuh raya itu, Shaziman berkata sejak mula beroperasi pada 1995 sehingga 31 Dis tahun lepas, sejumlah RM585.5 juta dikutip 

yang lebih rendah berbanding unjuran kutipan tol dalam perjanjian konsesi iaitu 
sebanyak RM613.4 juta.
"Jumlah aliran trafik dalam tempoh yang sama ialah sebanyak 809.7 juta 
kenderaan berbanding unjuran asal sebanyak 822.8 juta. 

"Kos keseluruhan bagi tujuan penyelenggaraan dan operasi untuk tempoh 
berkenaan ialah sebanyak RM147.3 juta. Tempoh konsesi Lebuhraya Cheras-Kajang akan tamat pada September 2030," katanya. 
  

No comments:

Post a Comment