My Add

Thursday 13 October 2011

Melayu miskin perlu diperkasa

Utusan Malaysia
KHAMIS, 13 Oktober, 2011: Kerajaan perlu memperkasakan kelompok Melayu miskin dan berpendapatan rendah dalam usaha memperkukuhkan ekonomi kaum tersebut.

Ketua Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin berkata, ini kerana daripada 40 peratus jumlah penduduk miskin di negara ini, 80 peratus daripadanya adalah kaum Melayu dengan pendapatan di bawah RM3,000 sebulan.

“Justeru kita perlu mempertingkatkan kemahiran supaya berpeluang mendapat pekerjaan bergaji tinggi dengan meningkatkan akses kepada pengetahuan vokasional dan teknikal serta pengalaman praktikal.

“Selain itu, kita juga boleh membangunkan tanah-tanah terbiar bagi tujuan pertanian secara komersial dan besar-besaran seperti yang dilakukan oleh Felda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Perspektif dan Strategi Pengukuhan Ekonomi Perpaduan Ummah pada Seminar Perpaduan dan Ekonomi Ummah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, semalam.

Seminar anjuran bersama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) itu dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga merupakan Yang Dipertua Perkim.

Hadir sama Presiden DPMM, Syed Ali Mohamed Al Attas dan Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman.

Mahani berkata, bantuan perlu diberikan kepada usahawan membangunkan perniagaan yang berpotensi dengan meluaskan kemudahan kewangan dan bantuan teknikal.

Bagaimanapun katanya, usahawan perlu mengukuhkan sifat tanggungjawab dengan membayar balik pinjaman dan membantu perniagaan baru yang lain.

Bagi memajukan ekonomi umat Islam, jelasnya, gejala rasuah perlu diperangi secara lebih telus dan serius kerana ia masalah utama yang menghancurkan masyarakat unggul.

“Kita kini menghadapi masa depan yang lebih mencabar. Selain mengejar kemajuan teknologi yang tinggi serta pembelian syarikat dan aset oleh syarikat gergasi lain termasuk syarikat asing, umat Islam kini terbahagi kepada beberapa kumpulan politik.

“Ini menyebabkan tiada kumpulan yang bersepadu untuk menggerakkan kuasa ekonomi umat Islam,” katanya.

Dalam pada itu, Mahani berkata, status ekonomi umat Islam telah menunjukkan peningkatan yang baik sejak 1970-an tetapi masih ketinggalan dalam pelbagai aspek seperti ekuiti korporat, tahap pendapatan dan daya saing atau kemampanan perniagaan.

Daripada jumlah populasi umat Islam sebanyak 61.3 peratus, kadar kemiskinan golongan Melayu adalah 5.3 peratus berbanding 0.6 peratus bagi kaum Cina pada 2009 dengan pegangan ekuiti berjumlah 21.9 peratus berbanding 34.9 peratus kaum Cina (2008).

Malah menurut beliau, sumber kekayaan ekonomi Melayu sangat menggalakkan namun kemajuan ekonominya akan mengecut jika mereka terus ketinggalan dan berpecah.

Ini kerana katanya, biarpun mempunyai kapasiti kewangan mencukupi tetapi ia tidak diurus dengan teratur dan sistematik selain aset yang tidak diguna pakai sepenuhnya seperti tanah terbiar.

No comments:

Post a Comment