My Add

Tuesday 11 October 2011

MTUC akan berpiket di seluruh negara 3 November

Bernama

SELASA, 11 Oktober, 2011: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan berpiket di seluruh negara pada 3 November untuk membantah cadangan pindaan Akta Pekerjaan yang diluluskan Dewan Rakyat minggu lepas, kata presidennya, Mohd Khalid Atan. 

Beliau berkata, keputusan untuk berpiket di seluruh negara diputuskan malam tadi pada mesyuarat yang dihadiri wakil-wakil dari lebih 100 kesatuan.

"Kita putuskan untuk berpiket di seluruh negara kerana Kementerian Sumber Manusia berkeras untuk meneruskan pindaan itu walaupun kita minta ditangguhkan agar lebih banyak perbincangan boleh dibuat mengenai perkara itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, MTUC membantah dengan kerasnya pindaan itu dan telah menghantar surat meminta menangguhkan pindaan tersebut kepada Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam pada mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Negara (NLAC) 3 Oktober sebelum kira-kira 200 ahli MTUC berpiket di luar Parlimen, baru-baru ini. 

"Ramai pekerja dan pemimpin kesatuan tidak berpuas hati dengan kementerian itu yang tidak menghiraukan bantahan kita terhadap cadangan pindaan tersebut dan meneruskan pembentangan. Sehubungan itu, kita putuskan untuk mengadakan piket bagi menunjukkan betapa kita tidak puas hati," tambah beliau. 

Mohd Khalid berkata, MTUC akan juga menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyatakan alasan mereka menolak pindaan itu. 

Antara bantahan ialah kesatuan sekerja mendakwa pindaan itu membenarkan penggunaan syarikat menyumberan. 

Selain itu, MTUC juga mahu cuti bersalin dinaikkan dari 60 hari ke 90 hari dan peraturan mengenai gangguan seksual tidak terdapat dalam pindaan terkini. 

Bagaimanapun, Dr Subramanian ketika membentangkan pindaan itu minggu lepas, menerangkan pendirian kerajaan dalam memasukkan peruntukan yang menghendaki pendaftaran kontraktor buruh. 

Beliau berkata, memasukkannya bukan untuk menggalakkan penyumberan buruh seperti yang dikhuatiri MTUC, tetapi bagi memastikan perlindungan bagi hak pekerja yang dibekalkan oleh kontraktor khasnya dalam sektor perladangan. 

Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Pekerjaan (Pindaan), yang mengandungi 22 pindaan dan 17 peruntukan baru dengan dua seksyen dimansuhkan pada 6 Oktober. 

Rang Undang-undang itu dijadual dibentangkan Di Dewan Negara pada persidangan Disember ini. 

Kali terakhir MTUC berpiket ialah pada 2007 mengenai isi gaji minimum di sektor swasta. 

Subramaniam kecewa cadangan MTUC adakan piket

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam kecewa dengan cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mahu mengadakan piket secara besar-besaran berhubung pindaan Akta Pekerjaan 1955 pada 3 November ini. 

"Saya sedih dengan cadangan MTUC untuk membuat piket kerana pindaan itu adalah kehendak dan permintaan MTUC sendiri. 

Masalah ini mula timbul apabila salah satu kesatuan sekerja membantah pindaan akta itu dengan mengatakan akta baru itu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada orang asing dan menutup peluang pekerjaan sedia ada kepada penduduk negara ini .

"Jadi, dalam masa terdekat ini, kita akan cuba adakan perbincangan lanjut dengan MTUC berhubung isu ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Majikan Kebangsaan (MEF) di Hotel Sunway Resort di kuala Lumpur. 

No comments:

Post a Comment