My Add

Saturday 15 October 2011

Musa, Isa, Zambry terima anugerah Tokoh Melayu


Najib Tun Razak menyampaikan Anugerah Tun Perak kepada Dr. Md. Isa Sabu sambil diperhatikan oleh Dr. Zambry Abd. Kadir (kanan), Musa Aman dan Mohd. Ali Rustam pada Majlis Perasmian Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam, semalam.

Utusan Malaysia
JUMAAT, 14 Oktober, 2011: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman mengetuai seramai 15 tokoh Melayu seluruh dunia menerima anugerah Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) pada majlis perasmian Konvensyen DMDI Ke-12 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini malam semalami.

Musa menerima Anugerah Tun Perak DMDI bersama Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir pula menerima Anugerah Temenggung Tun Hassan DMDI bersama Setiausaha Daerah Riau, Indonesia, Drs. Wan Syamsir Yus.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri yang juga Presiden DMDI, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Musa berkata, pemimpin di Sabah akan terus membantu memperkuatkan lagi penyatuan orang Melayu Islam atau rumpun Melayu.

"Saya nak ucapkan terima kasih kepada DMDI atas penganugerahan ini. Pengiktirafan yang diberikan ini adalah hasil usaha untuk menolong memperhebatkan dan menyebarkan DMDI supaya ia terus cemerlang dan relevan," katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Sementara itu Md. Isa berkata, beliau akan terus memberi sokongan kepada sebarang usaha untuk menjadikan DMDI relevan di rantau ini.

"Saya berpendapat orang Melayu ada di mana-mana dan tanpa sempadan, oleh itu usaha persefahaman perlu dipertingkatkan," katanya.

Seramai tujuh orang mendapat Anugerah Hang Tuah DMDI iaitu Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainal Husin; Presiden Jamiyah Singapura, Abdul Karim Maidin dan Setiausaha Agung Majlis Pusat Singapura, Harun Hussin.

Empat lagi yang menerima anugerah itu ialah bekas Dekan Universiti Mindanao, Filipina, Prof. Datu. Dr. Hassan Cana; H. Supian Hadi dari Kalimantan, Drs. H. Daria dari Lingga dan Ahli Majlis Gabungan Belia Melaka, Abu Bakar Md. Sudi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning yang juga Pengerusi Biro Wanita DMDI, Datuk Latipah Omar menerima Anugerah Tun Fatimah DMDI bersama Ketua Sekretariat DMDI Jambi, Rosna Tuti dan Presiden Mindanao Research Institut, Ann Basman.

No comments:

Post a Comment