My Add

Monday 10 October 2011

Najib mahu semua ahli Barisan Nasional elak cipta masalah

Najib Tun Razak berucap pada Majlis Penerangan Perdana Peringkat Wilayah Persekutuan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam, yang dihadiri kira-kira 8,000 penyokong Barisan Nasional (BN). – UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH


                         Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
                                     Utusan Malaysia


AHAD. 09 Oktober, 2011: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengingatkan semua ahli Barisan Nasional (BN) supaya tidak mencipta masalah yang boleh memberi kesan kepada kekuatan parti.

Kata beliau, kesepakatan dan perpaduan dalam parti sangat penting ketika gendang Pilihan Raya Umum Ke-13 semakin hampir kedengaran.

“Untuk memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-13, semua ahli BN perlu turun ke gelanggang dengan semangat untuk menang.

“Maka, untuk menjamin kita boleh menang, kita perlu membuat persiapan secara menyeluruh dalam memastikan tahap kesiapsiagaan yang menentukan sama ada kita sudah bersedia atau tidak,” katanya ketika berucap pada Majlis Penerangan Perdana Peringkat Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, hari ini.

Najib menambah, kesiapsiagaan yang dimaksudkan beliau termasuk mengelak perbalahan sesama sendiri, tidak mewujudkan puak dalam parti serta cantas-mencantas kerana perasaan tidak puas hati.

Beliau turut menekankan pentingnya setiap parti komponen BN untuk bersepakat dalam pembahagian kerusi dan tidak bermain tarik tali mengenainya.

Dalam masa sama, Najib berpesan kepada semua parti komponen BN supaya tidak memilih dalam menabur bakti dan jasa kepada rakyat meskipun mereka jelas tidak memberi sokongan kepada kerajaan.

“Jangan kita sombong dan angkuh kepada rakyat dan jangan sesekali menabur janji kosong, sebaliknya tunaikan apa yang telah kita janjikan,” katanya.

Di hadapan kira-kira 8,000 penyokong BN pada majlis itu, Najib turut menekankan bahawa adalah sesuatu yang mustahak untuk BN memenangi semula Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memandangkan ia merupakan ibu kota negara.

Ini kerana katanya, beliau tidak mahu BN dikenali sebagai parti kampung yang hanya golongan luar bandar seperti petani dan nelayan menyokong parti itu.

“Sebaliknya, kita perlu membuktikan bahawa semua kumpulan masyarakat termasuk golongan pertengahan serta profesional di bandar-bandar besar terutama Kuala Lumpur turut menyokong BN,” katanya.

Di akhir ucapannya, Najib mengingatkan BN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk bersedia mengakui kelemahan dan memperbaikinya.

Beliau menggesa supaya BN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur khususnya serta seluruh jentera BN amnya untuk bekerja lebih keras iaitu seboleh-bolehnya tujuh hari seminggu memandangkan gema pilihan raya semakin jelas.


 
BN mesti jadi parti disokong semua rakyat  

  

Najib mahu Barisan Nasional (BN) menjadi parti yang disokong oleh segenap lapisan rakyat.


Pengerusi BN itu berkata, beliau tidak mahu BN hanya sekadar disokong oleh penduduk luar bandar tetapi semua rakyat bandar terutamanya di Kuala Lumpur kerana ia merupakan ibu negara.


"Kita tak nak BN hanya menjadi parti luar bandar dan desa seolah-olah orang di bandar tidak sokong kita. Kita nak BN menjadi sebuah parti yang disokong semua termasuk golongan berpendapatan sederhana di kota raya KL ini,” katanya.

 

Ramai anggota dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan hadir pada majlis itu, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).


Justeru itu beliau menggesa semua anggota BN supaya melipatgandakan gerak kerja mereka memandangkan gema pilihan raya umum (PRU) semakin hampir.


Beliau berkata semua anggota mesti memastikan keadaan di akar umbi betul-betul tersusun dan tidak sekadar hanya tahu memberikan maklum balas positif.


"Saya tidak terima OK, saya nak tengok bukti, OK, tak OK,” katanya.
Mengenai persiapan BN Wilayah Persekutuan untuk menawan Kuala Lumpur, Najib berkata beliau mahu melihat kekuatan itu betul-betul diterjemah dalam kemenangan kepada BN pada PRU nanti.


"Congak punya congak, kita memang boleh menang. Atas kertas memang boleh menang,” katanya.

Jangan angkat diri, sabotaj bila tidak terpilih jadi calon pilihanraya



Najib juga mengingatkan semua ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) supaya tidak menganggap diri sebagai calon boleh menang pilihan raya umum akan datang dan bertindak mensabotaj parti apabila tidak terpilih.


Pengerusi BN itu menegaskan bahawa calon-calon BN yang bakal diketengahkan kelak adalah calon terbaik yang mempunyai ciri-ciri boleh menang, yang dipilih selepas membuat tinjauan sistematik dan semakan terperinci.


"Kalau kita nak pastikan kemenangan, kita mesti tampilkan kriteria calon yang boleh menang dalam pilihan raya umum,” katanya.


Najib, yang juga Presiden UMNO berkata, beliau tidak mahu melihat mana-mana parti mencipta masalah dan mewujudkan puak-puak di dalam parti atau berlaku perpecahan sesama parti komponen BN semata-mata orang pilihan itu tidak dipilih oleh pucuk pimpinan sebagai calon pilihan raya umum.


"Kalau ada (calon) ditentukan orang tertentu, tapi sebaliknya kalau ada orang yang kata definisi calon boleh menang adalah saya sebagai contohnya, dan (mereka) tidak dapat terima orang lain sebagai yang terbaik


"Maka dia akan potong trip dan lakukan perkara-perkara yang boleh jejaskan peluang calon kita untuk menang,” katanya.

Mengambil pengalaman selama 35 tahun beliau berkecimpung dalam politik, Najib berkata ini termasuk cubaan mensabotaj secara terang-terang atau secara halus, seperti yang pernah berlaku pada pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri Sarawak.


Sambutan orang ramai luar biasa





NAJIB Tun Razak melambaikan tangan selepas menyampaikan ucaptama pada Majlis Penerangan Perdana Peringkat Wilayah Persekutuan di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ DJOHAN SHAHRIN SHAH


Sementara itu, kehadiran orang ramai pada majlis itu disifatkan sebagai luar biasa dan tidak pernah berlaku sejak puluhan tahun dulu. 

Setiap penjuru Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) penuh berikutan kehadiran ramai orang itu dan beberapa kumpulan yang tiba lewat terpaksa duduk bersila di atas lantai betul-betul di hadapan pentas Najib berucap.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M Saravanan ketika mengulas mengenai sambutan tersebut berkata beliau telah bertugas dan bergiat aktif dalam politik kira-kira 23 tahun lalu di Wilayah Persekutuan tetapi tidak pernah melihat sambutan sehebat itu dan menyifatkannya sebagai luar biasa.

"Sambutan kali ini adalah cukup menggalakkan dan ia menunjukkan rakyat yakin dengan kepimpinan Datuk Seri Najib dan mudah-mudahan kita akan menang banyak kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum akan datang," katanya. 

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata anggota parti komponen Barisan Nasional (BN) mesti merapatkan hubungan dan menghapuskan sengketa ketika bahang pilihan raya semakin hampir. 

"Kita hendaklah jangan mencari masalah pada ketika saat-saat hampir dengan pilihan raya ini, tambahan lagi Perdana Menteri juga mahu kita mencari ramai kawan dan mengurangkan musuh dan semua nasihat itu amat berguna yang disampaikan beliau," katanya. 

Ahmad yang juga Pengerusi Biro Penerangan BN berkata ketika ini semua anggota parti jangan hanya berebut ingin menjadi calon sebaliknya terus bekerja dan memikul amanah serta melaksanakan perkara-perkara yang baik untuk rakyat. 

Pada majlis itu, Najib diiringi Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. 

Najib yang juga Pengerusi BN berucap dan menerangkan kepada orang ramai berkenaan isu-isu semasa dan ia merupakan majlis ke-enam selepas beberapa Majlis Penerangan Perdana yang diadakan di Kelantan, Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan dan di Perak pada minggu depan. 












No comments:

Post a Comment