My Add

Saturday 15 October 2011

PPP cuai isi borang pendaftaran pemilih

Utusan Malaysia 
JUMAAT, 14 Oktober,2011: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati terdapat kecuaian dan tindakan tidak teliti dilakukan oleh Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) ketika mereka melakukan proses pendaftaran pemilih tahun ini.

Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata, maklumat tersebut diperoleh hasil pemantauan badan itu sepanjang tempoh Julai hingga September bagi kerja-kerja pengisian borang pendaftaran pemilih (Borang A).

Tegas beliau, SPR memandang serius perkara itu dan telah memberi amaran kepada 163 PPP kerana melakukan kecuaian dan tidak teliti dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

"Seramai 94 PPP pula telah ditamatkan pelantikan kerana melakukan kecuaian dan tidak teliti terhadap perkara yang sama secara berulang.

"Tindakan tegas perlu diambil oleh SPR kerana tujuan pelantikan PPP adalah untuk membantu SPR mendaftarkan lebih ramai pemilih dengan cara menyediakan pelbagai saluran pendaftaran," katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya, semalam.

Menurutnya, objektif SPR adalah memberi kemudahan dan keselesaan kepada orang ramai mendaftar sebagai pemilih, namun kecuaian dan sikap tidak teliti dalam mengisi borang oleh PPP menyebabkan banyak masa terbuang kerana SPR terpaksa memproses borang yang tidak layak.

Kamaruddin berkata, SPR telah menerima sebanyak 200,395 Borang A daripada PPP di seluruh negara dan daripada jumlah itu sebanyak 71,184 Borang A telah ditolak kerana pelbagai kesilapan.

"Kecuaian dan tidak teliti dalam pengisian Borang A berlaku apabila SPR mendapati PPP yang dilantik mendaftarkan nama pemohon yang telah mendaftar sebagai pemilih (36,139 borang atau 50.76 peratus), mendaftarkan warganegara yang belum layak kerana berumur bawah 21 tahun (2,403 borang atau 3.37 peratus.

"Ia juga termasuk mendaftarkan nama pemohon yang meninggal dunia (2,029 borang atau 2.85 peratus), mendaftarkan nama pemohon bukan warganegara (381 borang atau 0.53 peratus), alamat pemohon tidak sama dengan alamat pada Agency Link Up System (ALIS) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) (15,615 atau 21.93 peratus) dan pelbagai alasan lain," katanya.

Justeru, beliau berharap PPP yang dilantik terutama dari kalangan parti politik, wakil kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan universiti/kolej dapat melaksanakan tugas dengan jujur bagi memastikan hanya permohonan yang layak sahaja dihantar kepada SPR untuk diproses.

"Bagi mengekang perkara ini daripada berterusan, SPR telah mengetatkan syarat-syarat dalam urusan pendaftaran pemilih di kalangan PPP termasuk meminta mereka menyertakan salinan kad pengenalan pemohon semasa menghantar Borang A," katanya.

No comments:

Post a Comment