My Add

Tuesday 11 October 2011

Rang undang-undang profesion guaman syarie dikaji

Bernama
SELASA, 11 Oktober, 2011: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara sedang menjalankan kajian bagi merangka Rang Undang-Undang Profesion Guaman Syarie bagi memartabatkan kedudukan profesion guaman syarie dan sistem kehakiman syariah di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, Jakim bersama-sama Jabatan Kehakiman Syariah dan Persatuan Guaman Syarie sedang mencari pendekatan terbaik untuk merealisasikan hasrat kerajaan mewujudkan undang-undang itu.

"Konsep asas bagi memastikan pewujudan undang-undang tersebut kini sedang diteliti bagi memastikan undang-undang yang akan digubal nanti adalah lengkap dan komprehensif serta mematuhi jadual pembahagian bidang kuasa antara kerajaan Persekutuan dengan Pihak Berkuasa Agama Negeri-Negeri,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Dr. Mashitah berkata demikian semasa menjawab soalan Nasharuddin Mat Isa (Pas-Bachok) mengenai penggubalan Akta Profesion Guaman Syarie dan bila akta itu akan dibentangkan di Parlimen.

Timbalan Menteri itu berkata, kerajaan bersungguh-sungguh menggubal akta berkenaan bagi memantau profesionalisme selain memelihara hak serta kebajikan peguam-peguam syarie di negara ini.

No comments:

Post a Comment