My Add

Saturday 15 October 2011

Tentera Nasional Indonesia nafi Malaysia ceroboh wilayah


Salah satu tanda sempadan yang merupakan sebatang kayu antara Kampung Telok Melano (kiri) dan Desa Temajuk di sempadan Malaysia-Indonesia di Kalimantan Barat yang didapati sama sekali tidak diusik ketika tinjauan dilakukan semalam.


Utusan Malaysia
JUMAAT, 14 Oktober, 2011: Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), Laksamana Agus Suhartono (gambar) hari ini menegaskan di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) bahawa tiada wilayah negara itu di Camar Bulan dan Tanjung Datu, Kalimantan Barat diambil oleh Malaysia seperti yang didakwa baru-baru ini.

Menurutnya, perbatasan Kalimantan Barat dikawal oleh anggota TNI seperti mana perjanjian yang dicapai antara Indonesia dengan Malaysia dan kesemua pos penjagaan dilengkapi data koordinat untuk setiap penanda sempadan.

Beliau memberitahu, anggota TNI sering mengadakan rondaan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di wilayah perbatasan itu.

“Kalau pada masa rondaan ditemui penanda pada kedudukan berbeza, secara bersama ia akan dikembalikan ke koordinatnya,” katanya pada sesi perjumpaan dengar pendapat dengan Suruhanjaya I, DPR di sini.

Isu sempadan Malaysia-Indonesia ditimbulkan oleh Timbalan Ketua Suruhanjaya I DPR, TB Hasanuddin dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang mendakwa kononnya wilayah Camar Bulan seluas hampir 1,500 hektar dan wilayah Tanjung Datu seluas 800 meter garis pantai telah diambil oleh Malaysia secara haram.

Suhartono berkata, sebelum ini Panglima Daerah Tentera XII Tanjungpura, Mejar Jeneral, Geerhan Lantara telah melakukan tinjauan ke kawasan yang didakwa berlaku pencerobohan dan hasilnya didapati perkara itu tidak berlaku.

Pemimpin TNI itu seterusnya menempelak laporan media tempatan berhubung isu sempadan wilayah itu yang dikatakan memberi kesan psikologi kepada anggota TNI.

Menurut beliau, laporan media cetak dan elektronik tempatan seperti menafikan peranan dan tanggungjawab pasukan keselamatan yang mengawal wilayah perbatasan itu.

“Laporan media (tempatan) seolah-olah mengecilkan tugas dan menidakkan peranan perajurit TNI di kedua-dua kawasan itu. Perajurit tentunya dapat merasakan mereka seperti tidak menjalankan tugas dengan baik berdasarkan laporan media,” jelas Suhartono.

Sempadan Malaysia-Indonesia tenang
       
Dari Sambas, Kalimatan Barat, Zaiin Zin melaporkan, di sebalik suasana tegang yang ditimbulkan penunjuk perasaan anjuran Forum Betawi Rempug (FBR) di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta semalam, masyarakat di kawasan sempadan di Kalimantan Barat yang menjadi pertikaian meneruskan rutin harian seperti biasa.

Tinjauan di Kampung Teluk Melano di sini yang bersempadan dengan Kampung Camar Bulan, Indonesia mendapati penduduk tidak tahu menahu tentang isu pengambilan tanah oleh Malaysia seperti yang didakwa.

Rakyat Malaysia mengunjungi Pasar Camar Bulan dalam suasana yang aman dan harmoni di Sambas, Kalimantan Barat, semalam.

Ketua Kampung Teluk Melano, Mohamad Pani khuatir isu yang timbul akan merosakkan hubungan baik yang terjalin dengan penduduk Kampung Camar Bulan.

“Selama ini hubungan kami amat baik dan erat malah masyarakat di kawasan bersempadan ini boleh diibaratkan seperti keluarga yang besar.

“Kami hidup aman damai tanpa pertelingkahan, tiada penduduk di sana yang tidak berpuas hati dan kalau ada pasti kami tahu mengenainya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Semalam, kumpulan daripada FBR yang berjumlah kira-kira 650 orang berdemonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan melempar batu, kayu, buluh serta telur ke dalam kawasan kedutaan.

Ia berikutan dakwaan Naib Ketua Komisi 1, Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), T.B Hasanuddin pada hujung minggu lalu bahawa republik itu kehilangan 1,400 hektar tanah di Camar Bulan serta 800 meter garis pantai di Tanjung Datu yang didakwa diambil oleh Malaysia.

Sementara itu, penduduk Kampung Camar Bulan yang mahu dikenali sebagai Rano berpendapat, isu tersebut tidak sepatutnya timbul kerana jarak sempadan sedia ada telah dipersetujui bersama.

“Saya ada menonton rusuhan di Jakarta yang disiarkan di televisyen. Tetapi kami di sini langsung tidak tahu-menahu mengenainya termasuklah ketua masyarakat kami,” katanya.  

No comments:

Post a Comment