My Add

Saturday 15 October 2011

Timbang tubuh bank DMDI

Utusan Melayu
JUMAAT, 14 Oktober, 2011: Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Datuk Seri Mohd. Ali Rustam meminta kerajaan Pusat menimbang untuk meluluskan permohonan menubuhkan bank DMDI beribu pejabat di negeri ini.

Menurutnya, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapat kelulusan.

"Saya diberitahu permohonan DMDI untuk menubuhkan bank DMDI akan dipertimbangkan oleh kerajaan Pusat dan saya amat berharap ia dapat diluluskan nanti.

"Dengan adanya bank DMDI, ia secara tidak langsung dapat membantu dan menyuburkan lagi ekonomi orang Melayu dan umat Islam di rantau ini," katanya selepas menutup Konvensyen DMDI Ke-12 di sini semalam.

Mohd. Ali yang juga Ketua Menteri berkata, dengan adanya bank DMDI nanti aset pertubuhan itu dijangka bertambah seperti mana DMDI Finance House dan Yayasan DMDI telah berjaya mengumpul aset sebanyak RM80 juta.

Menurutnya, pergerakan ekonomi DMDI akan bertambah rancak dan secara tidak langsung dapat membantu memperbanyakkan lagi pelbagai aktiviti di kalangan negara anggota di rantau ini.

Mengulas mengenai konvensyen selama tiga hari itu beliau berkata, satu resolusi yang merangka program 10 tahun sehingga 2020 telah diluluskan.

"Melalui program tersebut, aktiviti yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh itu telah disusun dengan tujuan kegiatan DMDI dapat dinikmati oleh seluruh masyarakat Melayu Islam," ujarnya.

Selain itu katanya, seminar akan turut diperbanyakkan hingga ke peringkat akar umbi meliputi seluruh 16 anggota yang menjadi ahli DMDI.

Di samping itu kata Mohd. Ali, sebuah satu tabung khas untuk pelajar-pelajar DMDI akan ditubuhkan untuk menyelaras bentuk bantuan yang boleh dihulurkan kepada mereka yang memerlukan.

No comments:

Post a Comment