My Add

Sunday 16 October 2011

TPM minta Majlis Agama Islam negeri bincang akta murtad

Bernama
SABTU, 15 Oktober, 2011: Cadangan supaya Akta Murtad diwujudkan harus dibincangkan secara bersama-sama oleh majlis-majlis agama Islam negeri kerana soal agama terletak dalam bidang kuasa kerajaan negeri, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Beliau berkata penguatkuasaan enakmen melarang orang bukan Islam menyebarkan agama mereka kepada kalangan orang Islam juga terletak dalam kuasa kerajaan negeri.

"Apa pun hukuman harus diputuskan bersama-sama... kalau tidak akan timbul masalah. Yang saya tahu di setengah-setengah negeri, sudah ada enakmen untuk melarang orang yang bukan Islam menyebarkan agama mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis sepetang bersama Timbalan Perdana Menteri di Kampung Paya, Port Dickson, hari ini.

Kira-kira 6,000 orang menghadiri majlis itu yang turut disertai Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bagan Pinang Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Beliau berkata sekiranya kesepakatan dicapai, penelitian juga harus dibuat supaya akta yang ingin diwujudkan itu tidak bercanggah dengan bidang kuasa kerajaan persekutuan sebelum ia diteliti oleh Peguam Negara.

Akta murtad dicadangkan oleh Mufti Perak Tan Sri Harunussaini Zakaria baru-baru ini untuk menghukum individu yang terbukti bersalah memurtadkan orang Islam kerana ia jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.- Bernama

Bayaran bantuan persekolahan akan dibuat Disember ini

Mahyiddin jua memberitahu, bayaran bantuan sebanyak RM100 kepada setiap pelajar di negara ini seperti yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2012, akan dibuat pada bulan Disember ini. 

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi kelonggaran supaya pembayaran itu dilakukan sebelum sesi baru persekolahan bermula.

"Ini bermakna semua pelajar berhak untuk dapat jumlah itu tidak kira daripada kumpulan mana. Oleh kerana bajet ini untuk Januari tetapi Januari sekolah sudah bermula, kita minta ia dibayar pada bulan Disember kerana biasanya ibu bapa berbelanja bagi sesi persekolahan pada bulan itu,” katanya.

  

No comments:

Post a Comment