My Add

Sunday 16 October 2011

Tsu Koon jangan tanding

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR

Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 15 Okt. - Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon yang berhadapan pelbagai kritikan kebelakangan ini menerima satu lagi 'tamparan' apabila Ketua Wanita parti itu, Datuk Tan Lian Hoe secara terbuka memintanya untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

"Sebenarnya saya tidak memintanya untuk berundur (sebagai Presiden), tetapi saya dan Wanita Gerakan harap beliau tidak muncul sebagai calon nanti. Jangan masuk bertandinglah.

"Mungkin sudah tercatat di dinding-dinding, suara-suara sumbang daripada rakyat di peringkat akar umbi dan ahli-ahli parti sendiri," katanya kepada pemberita selepas menggulung perbahasan Persidangan Perwakilan Wanita Gerakan 2011 di Kuala Lumpur, semalam.

Lian Hoe yang juga Ahli Parlimen Gerik menambah, Tsu Koon perlu berani dan tidak teragak-agak membuat keputusan kerana ia akan menimbulkan persepsi ke atas beliau sebagai seorang pemimpin lemah.

Katanya, teguran beliau dan pergerakan wanita parti itu ke atas Tsu Koon adalah ikhlas dan ia tidak bermakna mereka tidak menghormati beliau.

Lian Hoe menegaskan beliau juga tidak khuatir jika tidak dipilih sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya tidak mengejar kuasa sebaliknya selama ini saya hanya melaksanakan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat kepada saya," ujarnya.

No comments:

Post a Comment