My Add

Sunday 9 October 2011

UMNO mahu menang, bangunkan Kelantan

Utusan Malaysia

AHAD, 09 Oktober, 2011: UMNO berazam merampas Kelantan daripada Pas pada Pilihan Raya Umumk ke-13 (PRU-13) akan datang bagi membawa lebih banyak pembangunan demi kesejahteraan rakyat negeri ini yang terbukti dahagakan kemajuan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun mengakui usaha itu sukar, namun tidak mustahil dicapai dengan usaha gigih yang dijalankan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan rakan-rakannya dari dalam dan luar Kelantan termasuk komponen Barisan Nasional (BN).

Malah katanya, usaha untuk merampas Kelantan bagi membawa kemakmuran kepada rakyat, diperkuatkan lagi dengan keyakinan pelbagai pihak terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang baru membentangkan Bajet 2012 dengan memberi kesejahteraan kepada rakyat di semua peringkat.

"Kami berazam dalam PRU akan datang untuk menterbalikkan keputusan Pilihan Raya 2004, ini azam kami, kalau pilihan raya 2004 kita mendapat 22 kerusi, mereka dapat 23 kerusi, kita berazam dan berusaha di bawah kepimpinan Mustapa dan rakan-rakan yang lain di Kelantan ini sekurang-kurangnya kita dapat 23 dan mereka dapat 22," katanya pada sidang akhbar di Kota Bharu, semalam .

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, bagi mencapai hasrat tersebut, UMNO akan memantapkan jentera parti dalam menjalankan kempen penerangan dan gerak saraf secara lebih intensif bagi menyedarkan rakyat Kelantan mengenai banyak kepincangan serta kelemahan kerajaan Pas Kelantan selepas mentadbir lebih 20 tahun.

"Saya yakin kalau ini dapat dilakukan dengan tersusun dan teratur, banyak isu dan perkara yang menjadi kelemahan kepada kerajaan negeri dan kepimpinan parti yang memerintah negeri Kelantan, tetapi setakat ini kita belum cukup berjaya untuk mengeksploitasi dan menjelaskan kepada orang ramai.

"Orang ramai maklum perkara ini, tetapi kalau penjelasan dapat dibuat maka kelemahan-kelemahan mereka selama lebih 20 tahun ini akan terdedah dengan sendirinya dan kita harap gelombang kali ini adalah gelombang merah yang benar-benar dapat menukarkan minda, sikap dan kuasa rakyat di Kelantan," katanya.

Beliau pada masa sama mengingatkan ahli dan pemimpin UMNO negeri supaya mengetepikan masalah dalaman yang berlaku bagi memastikan matlamat merampas kembali pentadbiran kerajaan negeri daripada Pas tercapai.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, sekiranya UMNO mengambil alih Kelantan, parti itu pasti akan membuat perubahan bagi memastikan rakyat Kelantan dapat menikmati kemajuan dan pembangunan.

No comments:

Post a Comment