My Add

Thursday 13 October 2011

Wujudkan Akta Murtad - Mufti Perak

                     Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR dan WANDA IDRIS
                                                                                
Utusan Malaysia
KHAMIS, 13 Oktober, 2011: Pihak berkuasa agama digesa segera mewujudkan akta bagi menghukum individu yang terbukti bersalah memurtadkan orang Islam kerana ia jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria berkata, ini kerana golongan yang cuba menyesatkan orang Islam tidak pernah berhenti berbuat demikian sejak dari dahulu lagi.

Menurutnya, pada 2008 beliau pernah mendedahkan terdapat 260,000 orang Melayu sudah dikristiankan di negara ini dan bilangan itu dikhuatiri bertambah saban tahun.

“Mereka ini tidak pernah berhenti cuba menyesatkan orang Islam dan akta sebegini amat perlu bagi menangani gejala murtad yang semakin berleluasa.

“Akta Murtad perlu diwujudkan segera kerana gejala itu seperti virus terhadap bangsa Melayu Islam,” katanya ketika selepas membentangkan kertas kerja bertajuk Perpaduan Ummah: Gagasan dan Cabaran Masyarakat Islam Malaysia ke Arah Kelangsungan Ummah pada Seminar Perpaduan dan Ekonomi Ummah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, semalam.

Dalam kertas kerjanya, Harussani menasihatkan pemimpin serta masyarakat Islam supaya kembali bersatu terutama dalam politik demi kelangsungan budaya dan agama.

Katanya, masyarakat Islam semakin berpecah kebelakangan ini termasuk dalam politik dan ideologi sehingga menyaksikan ada pihak yang mendukung konsep pluralisme agama.

“Ada pemimpin kita yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam sedangkan pengertian Allah dalam Islam amat jelas dan tidak sama dengan pengertian konsep Trinity dalam Kristian, jadi adakah kita rela jika Tuhan kita dihina dan disalahtafsir” katanya.

Katanya, umat Islam juga perlu memastikan taraf ekonomi mereka sentiasa berada dalam keadaan baik supaya ia dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang terutama ketika dunia menghadapi krisis kemelesetan serta penguasaan ekonomi oleh bukan Islam.

Justeru menurutnya, kesemua usahawan, cendekiawan, ulama dan pemimpin politik Islam perlu berganding bahu dalam menjamin hak orang Melayu Islam terus terpelihara tanpa terpengaruh dengan fahaman politik masing-masing.

Bantuan material punca umat Islam murtad 

Di Shah Alam. menurut maklumat yang diperolehi Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam Universiti Malaya (UM), taktik menghulurkan bantuan material, menunjukkan rasa prihatin dan ambil berat yang ditunjukkan oleh gerakan Kristianiti antara faktor utama umat Islam di negeri ini memilih untuk murtad.

Kajian terpilih pula yang diperoleh dari 2006 hingga 2011 membabitkan testimoni 305 responden adalah penganut baru agama Kristian di sekitar Selangor.

Pensyarah jabatan itu, Prof. Madya Dr. Khadijah Mohd. Khambali berkata, berdasarkan testimoni, majoriti responden menunjukkan kecenderungan memeluk Kristian kesan daripada program yang dilakukan oleh gerakan Kristianiti, antaranya dialog kehidupan dan dialog antara agama di kalangan umat Islam dengan bukan Islam.

"Secara rumusannya, jawapan yang diberikan responden membuktikan fenomena 'dialog kehidupan' dan 'dialog antara agama' yang menekankan keprihatinan, ambil berat, ambil peduli, menghulurkan bantuan material, sokongan moral dan mendengar masalah adalah punca utama mereka memeluk Kristian.

"Jawapan mereka itu turut memperlihatkan sikap ambil peduli di kalangan komuniti Kristian telah menambat hati golongan penganut baru Kristian ini walaupun ada di antara mereka masih tetap mengakui kemuliaan Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kertas kerja bertajuk Gerakan Tabsyiriyah di Selangor pada seminar Menangani Cabaran Kristianiti di Malaysia semalam.

Seminar itu dianjurkan oleh Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Dalam kajian itu juga, Khadijah menyebut bahawa berdasarkan testimoni, terdapat responden menyatakan mengalami masalah dalam kehidupan mereka termasuk kesukaran untuk mendapatkan bantuan zakat berbanding bantuan gerakan Kristianiti.

Selain menerima bantuan dan layanan baik daripada gerakan itu, katanya, golongan yang baru memeluk agama itu turut ditawarkan ganjaran wang tunai sekiranya berjaya menarik orang lain untuk menyertai gerakan tersebut.

Katanya, jumlah ganjaran itu berbeza mengikut penganut agama tertentu iaitu RM3,000 diberikan kepada mereka yang berjaya memurtadkan seorang umat Islam manakala RM1,000 bagi setiap penganut Hindu atau Buddha.

Empat golongan sasaran utama

Sementara itu, Abdul Yazid Alias pula melaporkan, empat golongan di negeri ini dikenal pasti sering menjadi sasaran utama gerakan pendakwah Kristian untuk memurtadkan umat Islam.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali berkata, mereka ialah golongan yang tidak berdaya, anak-anak muda, pesakit kronik serta golongan intelek yang diterapkan kefahaman berkaitan ajaran Kristian menerusi pendekatan Islamik.

"Golongan-golongan inilah yang saya dimaklumkan menjadi sasaran gerakan pendakwah Kristian memurtadkan umat Islam. Golongan tidak berdaya merujuk kepada orang miskin dan bermasalah.

"Bagi golongan muda pula ialah di kalangan yang tidak mempunyai keluarga, terabai dan tidak mempunyai matlamat hidup.

"Pesakit-pesakit kronik pula ialah mereka yang terlantar di hospital dan diabaikan keluarga. Mereka (pendakwah) akan berkeliaran dan memberi perhatian kepada pesakit berkenaan dan pada masa sama mempengaruhi akidah pesakit itu," katanya selepas merasmikan seminar Menangani Cabaran Kristianiti di Malaysia, semalam.

Turut hadir pada program anjuran Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Selangor, Datuk Dr. Sidek Baba.

Sebanyak tiga kertas kerja dibentangkan iaitu oleh Ketua Penolong Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan JAIS, Mohd. Shahzehan Ahmad; bekas pastor yang kini pendakwah bebas, Mohd. Farhan Abdullah dan pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Khadijah Mohd. Khambali.

Hasan ketika ditanya mengenai perangkaan umat Islam yang telah dimurtadkan menerusi gerakan itu berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat tersebut buat masa ini.

Tambahnya, beliau juga masih belum mendapat jumlah sebenar pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kristian yang terlibat dalam gerakan memurtadkan umat Islam di negeri ini.

Bagaimanapun kata beliau, berdasarkan maklumat yang diperolehi, gerakan memurtadkan umat Islam dilakukan oleh gerakan Kristian daripada aliran Evangelist.


No comments:

Post a Comment