My Add

Saturday 19 November 2011

13 ditahan di Tawau amat berbahaya: Hishammuddin

SABTU, 19 November, 2011: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mendedahkan kumpulan 13 individu yang ditahan pihak berkuasa di Tawau, Sabah, Isnin lalu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) amat berbahaya kepada keselamatan negara dan serantau. 

Beliau berkata, kumpulan 13 individu terbabit termasuk enam warga asing "tidak takut mati" dan "mahu mati jihad" dan mereka amat berbahaya bukan sahaja kepada rakyat Malaysia tetapi seluruh rantau Asia Tenggara, lapor Bernama

"Kumpulan ini tidak takut mati dan sememangnya mereka mahu mati dalam jihad," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama pemimpin Parlimen Semberong di FELDA Bukit Tongkat, Kluang, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Semberong menyifatkan isu penahanan 13 individu terbabit sebagai "amat serius" dan berkata, pada ketika ini mereka berada di pusat tahanan di Tawau. 

Hishammuddin juga mendedahkan, operasi penahanan 13 individu yang dilaksanakan oleh unit khas anti keganasan polis turut menemui sejumlah besar senjata api dan bahan letupan.

Desak bebas pengganas: Suhakam tak bertanggungjawab

Sementara itu, Hishammuddin membidas Suruhajaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) yang disifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab apabila mendesak supaya 13 individu yang ditahan di bawah ISA itu dibebaskan.

Katanya, Suhakam tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan itu tanpa mengetahui tentang latar belakang dan fakta tentang kesemua mereka yang ditahan pihak berkuasa di Tawau, Sabah.

"Membuat kenyataan tanpa mengetahui latar belakang dan fakta, dan hendak membebaskan mereka yang cukup berbahaya itu adalah cukup tidak bertanggungjawab oleh Suhakam,” katanya lagi.

Hishammuddin yang juga anggota Parlimen Semberong menasihatkan pihak Suhakam supaya berjumpa dengannya terlebih dahulu di mana kementerian bersedia berkongsi maklumat tentang penahanan individu itu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam yang menggesa Kementerian Dalam Negeri supaya membebaskan 13 individu yang ditahan itu. 

No comments:

Post a Comment