My Add

Tuesday 22 November 2011

191 setiausaha bahagian automatik jadi perwakilan

Tengku Adnan
SELASA, 22 Novmber, 2011:
BUAT pertama kali dalam sejarah Perhimpunan Agung UMNO, seramai 191 setiausaha bahagian dipilih secara automatik menjadi perwakilan pada persidangan yang bermula 29 November hingga 3 Disember ini. 

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pembaharuan tersebut dilaksanakan berdasarkan keputusan pindaan perlembagaan parti yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khas UMNO 2009.

"Semasa pindaan perlembagaan dibuat, pertimbangan khas telah diberi kepada setiausaha bahagian yang terlibat sepenuh masa dalam mesyuarat dan pentadbiran bahagian untuk menjadi perwakilan secara automatik.

"Ini kerana kehadiran mereka adalah baik bagi membantu perwakilan bahagian. Ia juga merupakan pengiktirafan kepada mereka," katanya ketika sesi taklimat mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2011 kepada wakil media di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, perhimpunan kali ini akan disertai oleh 5,447 perwakilan termasuk yang mewakili sayap parti serta 74 perwakilan Kelab UMNO luar negara.

"Selain itu, seramai 58 delegasi yang mewakili 23 parti dari 20 negara telah mengesahkan kehadiran mereka. Sebanyak 83 agensi media yang meliputi 74 media tempatan dan sembilan agensi antarabangsa dengan 1,525 wartawan telah berdaftar untuk membuat liputan perhimpunan kali ini," ujarnya.

"Seminar Kebangsaan Pemahaman Wasatiyyah dan 1Malaysia akan diadakan pada 26 November. Forum antarabangsa bertajuk 'The Politic of Economic and Social Transformation in The Era Global Crisis' akan diadakan selama dua hari bermula 28 November," katanya.

Pendirian UMNO melalui ucapan penggulungan presiden

Sementara itu Tengku Adnan menyatakan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak harus berasa tersinggung sekiranya terdapat isu-isu sensitif khususnya berkaitan kepentingan orang Melayu dibangkitkan oleh para perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini.

Katanya, sebagai sebuah parti berasaskan kaum seperti mana MCA dan MIC, sudah tentu ada di kalangan perwakilan tidak terlepas membangkitkan isu-isu seumpama itu kerana sifatnya yang amat subjektif.

Sehubungan itu, beliau meminta parti-parti komponen tidak memberikan reaksi negatif jika ia berlaku kerana pendirian rasmi UMNO akan disampaikan melalui ucapan penggulungan oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari akhir perhimpunan.

"Hakikatnya, kita ini adalah parti berasaskan kaum seperti mana MCA dan MIC. Kita juga tahu ketika MCA bersidang perkara yang serupa juga berlaku, tetapi tidak pula kita suarakan.

"Begitu juga sekiranya berlaku di dalam Perhimpunan Agung UMNO. Masalah atau perkara (mengenai kepentingan orang Melayu) kalau pun dibangkitkan, ia hanya untuk perwakilan dan ahli UMNO dan bukannya hendak menyinggung perasaan kaum lain," katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Tengku Adnan berkata, perkara sama juga berlaku ketika persidangan MIC, Gerakan dan PPP kerana itu adalah hak mereka.

"Kami tahu apa yang mereka katakan, namun persoalannya mengapa fokus mengenai perkara ini sering ditujukan kepada UMNO? Ini kerana UMNO terbuka," katanya.

Pada sidang akhbar sama Tengku Adnan berkata, UMNO akan mengambil kira peringatan serta pandangan yang disuarakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia, semalam.

"Sebagai bekas presiden, sudah tentu beliau tahu tentang perjalanan UMNO, tetapi kita juga ingin maklumkan bahawa Presiden baru, Datuk Seri (Najib Tun Razak) sedaya upaya cuba memperbaiki dan mengatasi setiap masalah yang timbul.

"Kita juga sedar bahawa UMNO seperti Tun (Dr. Mahathir) sebut merupakan payung kepada kaum lain. Kita akan berusaha untuk kekalkan peranan ini agar UMNO terus menjadi parti yang boleh diharapkan untuk menaungi mereka dan seterusnya memastikan masa depan anak-anak mereka serta negara ini terjamin," katanya lagi. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment