My Add

Monday 21 November 2011

Betulkan persepsi terhadap UMNO satu cabaran besar: TPM

NAJIB Tun Razak (tengah) turut menyanyikan lagu UMNO pada Majlis Amanat Presiden Parti kepada Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam. 
Hadir sama Naib Presiden UMNO (dari kiri) Mohd. Shafie Apdal, Hishammuddin Tun Hussin dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ahmad Maslan dan Rosnah Abdul Rashid Shirlin (kanan). - BERNAMA

ISNIN, 21 November, 2011:
TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antara cabaran besar yang dihadapi oleh pemimpin dan anggota UMNO ialah untuk memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Sambil bersetuju dengan pandangan bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden UMNO Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa banyak usaha yang perlu dilakukan oleh parti itu untuk mendapatkan sokongan rakyat, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, cabaran yang dihadapi oleh parti pada masa ini bukan mudah.

"Mungkin boleh dibandingkan dengan UMNO dahulu, zaman Tun dan zaman sebelum itu, tetapi situasi sudah berubah.

"Jika zaman dahulu, kita lebih mudah (mendapat sokongan rakyat), kerana banyak yang pada waktu itu memahami dan dapat menghayati sejarah lampau.

"Generasi sekarang tidak membawa “baggage” (beban) masa lampau, mereka lahir lepas merdeka, dengan kemajuan pembangunan, jadi mereka tidak terikat dengan

“baggage” ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Ilham Desa peringkat kebangsaan di Bangi, hari ini.

Rang undang-undang perhimpunan aman dibentang minggu depan

Sementara itu, Muhyiddin memberitahu, Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 yang akan dibentangkan minggu depan bertujuan memberi peluang dan ruang kepada rakyat untuk mengadakan perhimpunan secara aman dan meluahkan pandangan mereka.  

Menurutnya, , rang undang-undang itu yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan satu lagi manifestasi kesungguhan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk membawa transformasi politik secara holistik.

"Seeloknya, kita tunggu pembentangan itu di mana Perdana Menteri akan memberikan ucapan menjelaskan rasional rang undang-undang itu dilakukan (digubal).

"Dalam rang undang-undang itu nanti... cara dan peraturan (mengadakan perhimpunan aman dan luahkan pandangan) akan dijelaskan. Saya harap, ini akan diterima baik oleh masyarakat,” katanya.  

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz berkata, rang undang-undang tersebut yang akan menggantikan Seksyen 27, Akta Polis akan dibentangkan di Parlimen minggu depan.

Pada September lalu, Najib telah mengumumkan kerajaan akan mengkaji semula Seksyen 27, Akta Polis dan akan digantikan dengan akta baru.

Dalam perutusan khas sempena sambutan Hari Malaysia itu, Perdana Menteri juga mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Kediaman Terhad.

Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri telah dimansuhkan bulan lalu manakala undang-undang baru bagi menggantikan ISA dijangka dibentangkan di Parlimen pada bulan Mac 2012.

Wang bantuan RM100 perlu diberikan sepenuhnya 

Muhyiddin mengulangi lagi tentang arahan supaya pihak sekolah mengagih-agihkan pemberian bantuan kerajaan sebanyak RM100 kepada pelajar sepenuhnya, tanpa membuat sebarang pemotongan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, arahan sudah dikeluarkan dan langkah itu bagi merealisasikan apa yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Belanjawan 2012 bulan lepas, dapat dinikmati rakyat.

"Mudah saja, tiap-tiap pelajar yang berada dalam sistem pendidikan negara, sama ada dalam sekolah kerajaan atau swasta, semua layak dapat.

"Tanggungjawab guru, jangan soal, beri RM100 bagi tiap-tiap pelajar kepada ibu bapa. Itu saja. Dan saya sudah beritahu dan arahan, jangan ada pemotongan dan jangan buat taksiran pelbagai. Serah dulu RM100.

"Jika ada cita-cita lain nak beri PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) atau nak buat itu ini, itu soal kedua tetapi untuk menunjukkan bahawa apa yang disebutkan oleh Perdana Menteri dalam bajet bahawa itu benar-benar berlaku, maka sekolah yang bertanggungjawab mesti sampaikan jumlah yang disebutkan, RM100 tidak lebih dan tidak kurang,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment