My Add

Sunday 13 November 2011

The Great Gender Debate wadah orang muda berbahas

AHAD, 13 November, 2011: Program debat bertajuk 'The Great Gender Debate 2011' (TGGD) amat perlu diadakan sebagai wadah kepada generasi muda untuk berbincang dan berbahas mengenai isu gender sedia ada agar mereka sedar peranan dalam memikul amanah memimpin negara pada masa depan. 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, program itu tidak hanya ditujukan kepada golongan mahasiswi tetapi juga kepada orang ramai yang turut mendengar bagi mendidik dan memberi kesedaran betapa pentingnya mewujudkan pewaris negara yang berkualiti.

"Saya amat gembira kerana kementerian telah menerima cadangan yang cukup banyak dari pendebat yang berlangsung itu, dan kementerian akan menggunakan ia sebagai input dalam pembentukan polisi-polisi akan datang.

"Kerajaan sentiasa menyediakan peluang dan pelan yang jelas bagi memastikan pembabitan wanita dalam pelbagai sektor," katanya dalam teks ucapannya pada penutup dan penyampaian hadiah program TGGD 2011 anjuran Institut Pengupayaan Wanita bagi Anggota Pergerakan Negara- Negara Berkecuali (NIEW) di Universiti 
Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini. 

Menurut Bernama, teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur. Turut hadir Pengarah NIEW Tan Sri Dr Rafiah Salim dan Naib Canselor UMT, Datuk Prof Dr Aziz Deraman. 

Shahrizat berkata, wanita kini dianggap sebagai pemangkin kepada kemajuan dan perpaduan negara dan adalah penting bagi kerajaan untuk memastikan potensi golongan ini sentiasa dipertingkat dan tidak hanya berpuas hati dengan sasaran 30 peratus wanita sebagai pembuat dasar. 

"Kita perlu mencapai lebih dari itu. Apakan tidak, di universiti-universiti sahaja pelajar wanita lebih dari 60 peratus dan pelajar inilah kelak yang akan menjadi pemimpin masa depan," katanya. 

Pada program debat yang julung kali diadakan itu, Universiti Malaysia Pahang (UMP) muncul juara manakala naib johan dimenangi Universiti Malaya dan bagi kategori Bahasa Inggeris pula dimenangi Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di tempat kedua. 

Johan program TGGD 2011 masing-masing menerima hadiah wang tunai RM7,000, piala pusingan, sijil serta buku manakala naib johan RM3,500, piala, sijil serta buku. 

Pendebat terbaik bahasa Malaysia dimenangi Siti Aishah Mustapha dari UMP manakala bagi kategori bahasa Inggeris dimenangi Maizura Mokhsin dari UiTM dan masing-masing membawa pulang RM500. 

Sementara itu, Noorul Ainur pada sidang media berkata, program itu akan diteruskan pada tahun depan dengan menaikkan hadiah daripada RM7,000 kepada RM10,000 manakala naib johan daripada RM3,500 kepada RM5,000. 

No comments:

Post a Comment