My Add

Wednesday 16 November 2011

Kakitangan Istana Negara sedih, terharu


Tinggal kenangan...
RABU, 16 November, 2011: Kenangan menjaga kebersihan di kawasan Istana Negara di Jalan Istana, Kuala Lumpur akan menjadi memori manis buat seorang tukang kebun yang sudah berkhidmat selama tujuh tahun di tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong itu.

Zapirul Ashaari, 27, berkata, dia berasa sedih dan terharu apabila istana yang mula didiami raja-raja Melayu sejak Yang di-Pertuan Agong pertama pada 1957 itu telah mengakhiri fungsinya hari ini.

"Banyak kenangan manis sepanjang saya bekerja di sini dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah bersalaman dengan Seri Paduka Baginda pada hari raya di istana ini," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, biarpun bakal berpindah ke istana baharu di Jalan Duta, tiada apa yang berbeza dengan tugasnya itu kecuali perlu membiasakan diri dengan kawasan istana yang lebih luas.

Bagi Pengawal Keselamatan Balai Pos Tiga, Lans Koperal Mohd. Sharunizan Muda, kawasan Istana Negara sangat meriah apabila kakitangan istana sering lalu-lalang untuk pergi bekerja.

"Kawasan di sini memang meriah dengan kakitangan istana yang keluar masuk serta orang ramai yang datang menikmati ikan bakar yang popular berdekatan istana ini.

"Namun, suasana bertukar sunyi kebelakangan ini apabila kakitangan istana sudah ramai yang memulakan tugas di istana baharu," katanya yang sudah lapan tahun berkhidmat di istana berkenaan.

Anak kelahiran Terengganu itu menyifatkan, pengalaman dapat melihat secara dekat pemimpin utama negara serta delegasi antarabangsa yang mengunjungi Yang di-Pertuan Agong sebagai kenangan manis buatnya.

"Kalau tidak bekerja di sini, memang saya tidak ada peluang untuk berjumpa mereka," katanya yang bakal kembali ke Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 19, Cheras selepas ini.

Rakan setugasnya, Lans Koperal Md. Azwari Deris, 30, pula berkata, dia berasa sedih kerana tidak lagi dapat bersama rakan-rakan untuk menjalankan tugas di istana yang baharu kerana akan kembali bertugas di PGA Batalion 19.

"Bekerja mengawal keselamatan di istana menyeronokkan saya kerana kawasan di sini tenang, jadi saya rasa sedih sedikit kerana bakal mengakhiri tugas di sini," katanya.

Kakitangan Unit Stor, Mohammad Rodzi Jaafar, 46, pula menyifatkan, istana 'lama' yang menjadi 'tempat bermain' baginya akan kekal dalam ingatan biarpun sudah berpindah ke tempat baru.

"Saya mula berkhidmat di sini sejak Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-10 dan sejak itu sudah tiga Yang di-Pertuan Agong bersemayam di sini jadi banyaklah kenangan yang tidak dapat dilupakan," katanya.

Istana Negara di Jalan Istana itu dibeli Kerajaan Persekutuan dengan harga RM1.4 juta pada 1957 mula dipindahkan secara berperingkat ke Istana Negara baharu di Jalan Duta sejak 19 Oktober lalu.

Istana Negara baharu yang dibina dengan ciri-ciri binaan Islam dan tradisional Melayu terletak di kawasan seluas 96.52 hektar dan akan menjadi lokasi pertabalan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-14 Disember ini.

No comments:

Post a Comment