My Add

Sunday 20 November 2011

Ketengah kejayaan negara

MUHYIDDIN YASSIN tertarik melihat model Kompleks Bangunan HTC Kuala Lumpur sambil diberikan taklimat oleh Timbalan Pengarahnya, Rohani Ahmad (kanan) ketika melawat ke ruang pameran selepas majlis pelancaran sambutan Hari UNESCO Malaysia di Kuala Lumpur, kelmarin. Turut kelihatan Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay (dua dari kiri).

AHAD, 20 November, 2011:
BUAT julung-julung kalinya, sambutan Hari UNESCO Malaysia disambut bermula semalam selepas 50 tahun negara menganggotai pertubuhan antarabangsa itu.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed berkata, sambutan itu bertujuan mengetengahkan kepada masyarakat penglibatan aktif serta kejayaan-kejayaan Malaysia dalam UNESCO, lapor Bernama

"Idea sambutan Hari UNESCO Malaysia dicadangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (yang juga Menteri Pelajaran) pada 12 April lepas semasa mempengerusikan Mesyuarat Agung SKUM (Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia) kali ke-37," katanya dalam kenyataan akhbar baru-baru ini.

"Menurut Muhyiddin, memandangkan Malaysia begitu aktif dalam UNESCO, adalah wajar untuk menyambut satu hari yang menggambarkan kejayaan-kejayaan negara di mana ia memberikan penghormatan dan anugerah kepada rakyat Malaysia yang telah menaikkan nama Malaysia," kata Rosli yang juga naib presiden SKUM.

Muhyiddin merasmikan sambutan serta melancarkan laman web Kelab UNESCO Malaysia di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR) semalam.

"Kita memilih November untuk mengadakan sambutan ini kerana UNESCO ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 16 Nov 1946," katanya.

Turut diadakan persembahan-persembahan kebudayaan daripada para pelajar sekolah antarabangsa yang akan mempamerkan pakaian-pakaian tradisional masyarakat Timur Tengah serta persembahan pelbagai jenis tarian tradisional.

Malaysia (ketika itu Malaya) menganggotai UNESCO pada 16 Jun 1958, setahun selepas negara mencapai kemerdekaan, katanya.

Rosli berkata, Malaysia menduduki lembaga eksekutif UNESCO sebanyak enam kali dan baru sahaja menamatkan penggal selama tiga tahun dari 2008 hingga 2011.

Lembaga eksekutif itu merupakan badan penting dalam UNESCO yang membincangkan isu serta strategi pelaksanaan program pertubuhan itu yang baru-baru ini mendapat tumpuan dengan keanggotaan Palestin.

Menurut beliau, SKUM dibentuk pada Julai 1966 untuk menyelaraskan program pendidikan, saintifik dan kebudayaan di kalangan pelbagai kementerian.

Katanya, enam jawatankuasa kecil tetap juga dibentuk dan dianggotai oleh Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Luar bagi memperkasa penglibatan Malaysia dalam UNESCO.

Sambutan Hari UNESCO setiap tahun

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan bercadang menjadikan sambutan Hari UNESCO Malaysia sebagai acara tahunan bagi mendedahkan pengiktirafan yang diterima negara daripada badan tersebut.

Menurutnya, sepanjang menyertai UNESCO, Malaysia mendapat banyak faedah antaranya dalam soal pendidikan, sains, kebudayaan serta sejarah dan manfaat tersebut perlu dijadikan bahan tatapan umum.

Beliau yang juga Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia berkata, sambutan setiap tahun boleh membantu meningkatkan promosi pendidikan untuk semua (EFA), membasmi kemiskinan, meningkat toleransi, keamanan, menjamin hak sama rata jantina, memulihara warisan dunia serta menjamin kebebasan media.

"Malaysia sebenarnya sudah menghampiri sasaran 100 peratus peluang pekerjaan, berbanding sasaran yang ditetapkan UNESCO pada 2015.

"Pengiktirafan UNESCO ke atas peranan Malaysia menjadi lebih menyerlah dengan penubuhan dua institut di Malaysia, selain banyak tempat warisan negara yang turut diiktiraf seperti Melaka dan Pulau Pinang.

"Saya dimaklumkan, kita dalam proses mendapatkan pengiktirafan tempat bersejarah terbaru iaitu di Lenggong (Perak) dan diharapkan dengan adanya sambutan seperti ini setiap tahun, rakyat lebih terdedah kepada manfaat serta kelebihan penyertaan dalam badan dunia ini," katanya.

No comments:

Post a Comment