My Add

Thursday 17 November 2011

Komuniti Ekonomi ASEAN 2015

http://t3.gstatic.com/images?q=tbn:ANd9GcQEzMtrD_fTukOvhp5UZOEZil1zStKUjBgGT-xTFb7spLagL0D2aw
Mustapa Mohamed
KHAMIS, 17 November, 2011: Malaysia yakin hasrat mewujudkan Komuniti Ekonomi ASEAN akan tercapai menjelang tahun sasarannya, 2015, kata Menteri Perdagangan Antrabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Katanya, pelaksanaan langkah-langkah komuniti ASEAN itu amat menggalakkan yang secara keseluruhannya telah mencatat pencapaian 75.6 peratus bagi Fasa 1 (2008-2009) dan Fasa 2 (2010-2011).

‘‘Peratusan pelaksanaan bagi Malaysia pula adalah 88.5 peratus bagi kedua-dua fasa,’’ katanya pada sidang akhbar bersama wartawan Malaysia di Bali semalam.

Beliau sebelum itu menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) di Pusat Konvensyen Nusa Dua Bali di sini menjelang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-19 esok.

Utusan Malaysia melaporkan, isu berkaitan integrasi ekonomi dalaman ASEAN serta hubungan dengan rakan-rakan dialog ASEAN turut disentuh pada mesyuarat hari ini.

Menurut Mustapa, dengan tercapainya Komuniti Ekonomi ASEAN ini, ia akan membawa faedah berganda kepada ASEAN iaitu integrasi ekonomi lebih kukuh dan menjadi destinasi pelaburan perdagangan yang hebat di rantau ini.

Pada masa yang sama beliau yakin pencapaian itu akan memberi faedah kepada 600 juta penduduk ASEAN yang terbahagi kepada kumpulan negara maju, negara membangun dan negara kurang maju.

‘‘Hasrat kita untuk membawa kemakmuran kepada kesemua negara ASEAN di samping mengurangkan perbezaan pendapatan antara kaya dan miskin,’’ katanya.

Matlamat akhirnya adalah untuk memastikan rakyat ASEAN menikmati pendapatan yang lebih tinggi serta mengurangkan jurang antara negara kurang maju dengan negara maju.

Beliau juga memberitahu, mesyuarat AEM hari ini turut membincangkan perkembangan Hala Tuju Strategi Ekonomi 10 Tahun ASEAN-Jepun dan permohonan Hong Kong untuk menyertai Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China.

Katanya, ASEAN mengakui Jepun merupakan salah satu rakan dagang dan sumber pelaburan utama bagi negara-negara anggota dengan nilai perdagangan mencapai AS$203 bilion atau 9.74 peratus daripada jumlah perdagangan ASEAN pada tahun 2010.

Justeru, ASEAN menyedari terdapat potensi besar untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan di antara Jepun dan negara-negara ASEAN.

Katanya, mesyuarat bersetuju agar hala tuju atau roadmap yang dirangka mengambil kira tiga aspek utama iaitu integrasi pasaran ASEAN dan rakan-rakan perdagangan; mengukuhkan kerjasama ekonomi ke arah struktur industri yang lebih maju serta berteknologi tinggi; meningkatkan kualiti pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

Katanya, jangka masa bagi pelaksanaan hala tuju itu akan dibahagikan kepada Fasa 1 (2011-2015) dan Fasa 2 (2015-2022).

Mengenai hasrat Hong Kong untuk menyertai FTA ASEAN-Jepun, Mustapa berkata, belum ada sebarang keputusan mengenainya sebaliknya mesyuarat berpendapat ia memerlukan kajian mendalam berhubung aspek undang-undang dan teknikal.

‘‘Perkara ini agak rumit, oleh itu, pegawai-pegawai kanan ekonomi ASEAN akan menjalankan kajian bagi menilai manfaat ekonomi dan implikasi sekiranya hasrat Hong Kong diterima,’’ katanya.

Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN juga sedang membincangkan modaliti bagi memperluaskan ASEAN + 1 FTA yang melibatkan ASEAN, China, Jepun, Korea, India, Australia dan New Zealand.

‘‘Mesyuarat juga mengambil maklum bahawa walaupun import duti telah dimansuhkan bagi hampir semua produk tetapi masih wujud halangan bukan tarif yang membataskan keberkesanan pelaksanaan kawasan perdagangan bebas ASEAN,’’ katanya. 

No comments:

Post a Comment