My Add

Monday 14 November 2011

KWSP terbaik urus kewangan: Ketua Audit Negara

ISNIN, 14 Novmber, 2011: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berada di kedudukan pertama dalam pengurusan kewangan mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2010, melepasi markah 90 peratus di kalangan 12 Badan Berkanun Persekutuan terbaik negara. 

Laporan Bernama menyebut KWSP dalam satu kenyataan hari ini, berkata, kedudukan yang dicapai KWSP ini mengatasi prestasi yang dicatatkan pada 2007.

Ketua Audit Negara dalam Laporan 2010 menyatakan pengurusan kewangan KWSP diberikan penarafan sangat baik, dengan kepimpinan dan komitmen tinggi oleh Lembaga Pengarah, pengurusan atasan dan kakitangan mewujudkan satu rangkaian sistem pengurusan yang amat berkesan bagi memastikan objektif KWSP tercapai.

Laporan itu juga menyatakan KWSP disokong kukuh oleh pengurusan sumber manusia yang kompeten dan profesional. 

KWSP juga mempunyai pelan peralihan tugas yang merupakan sebahagian daripada perancangan strategik pengurusan sumber manusia. 

Laporan itu juga seterusnya menekankan bahawa KWSP menubuhkan beberapa jawatankuasa bagi memantapkan pengurusan dan pentadbirannya. 

Jawatankuasa Audit Lembaga dan Jawatankuasa Pengurusan Kewangan dan Akaun diwujudkan untuk membantu Ketua Pegawai Eksekutif mengawasi sistem kewangan dan perakaunan KWSP.

Ketua Audit Negara juga menyatakan KWSP melaksanakan pengurusan kewangan dengan teratur serta memenuhi peraturan yang ditetapkan. 

Laporan itu juga memaklumkan bahawa pelaburan dan pinjaman KWSP diurus dengan baik dan mematuhi peraturan yang berkuat kuasa. 

Jabatan Audit Negara pada 2010 memilih 39 daripada 118 Badan Berkanun Persekutuan untuk diaudit termasuk 19 institusi pengajian tinggi awam dan lapan agensi yang tidak diberikan penarafan. 

Objektif pengauditan itu adalah untuk menentukan sama ada pengurusan kewangan Badan Berkanun Persekutuan diuruskan mengikut undang-undang dan peraturan kewangan yang ditetapkan. 

KWSP adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. 

No comments:

Post a Comment