My Add

Friday 11 November 2011

Lebih 20,000 hadir Rumah Terbuka Deepavali Malaysia 2011

JUMAAT, 11 November, 2011: Datuk Seri Najib Tun Razak meraikan lebih 20,000 rakyat pelbagai kaum, terutama masyarakat keturunan India pada majlis Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2011 yang berlansung dalam suasana penuh warna-warni di pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Jawa, Klang, malam tadi.

Perdana Menteri yang gembira sambutan hangat rakyat pada majlis itu menyatakan perayaan Deepavali bertambah meriah ketika negara melalui transformasi menerusi kejayaan demi kejayaan yang dicapai..

"Deepavali dianggap oleh rakan-rakan kita yang beragama Hindu sebagai perayaan yang membawa cahaya.

"Sinaran cahaya itu membawa semua kaum berhimpun di kawasan ini untuk menyambut Deepavali. Ia boleh diibaratkan cahaya menerangi yang gelap, yang benar menafikan yang batil dan hak menidakkan yang tidak benar," katanya ketika berucap melancarkan sambutan tersebut.

Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk G. Palanivel merangkap Presiden MIC.

Utusan Malaysia melaporkan, terdahulu, ketibaan Perdana Menteri bersama isteri ke mtajlis itu disambut oleh ribuan rakyat pelbagai kaum yang beratur panjang dari simpang jalan menuju ke SMK Kampung Jawa.

Majlis tersebut diserikan dengan nyanyian dan persembahan kebudayaan pelbagai etnik.

Perdana Menteri turut meluangkan beberapa waktu membuat kunjungan mesra ke rumah penduduk.

Najib ketika berkongsi perkembangan memberangsangkan pelan transformasi kerajaan berkata, ia berjaya melonjakkan pelaburan negara kepada 76 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas dan mengajak rakyat membandingkannya dengan keadaan di negara lain.

"Buka televisyen kita tengok rakyat di Eropah dan negara-negara lain berdemonstrasi kerana kehilangan pekerjaan, gaji dipotong, pencen dikurangkan dan peruntukan untuk pendidikan dipotong selain yuran pendidikan dinaikkan. Ini gambaran saban hari," katanya.

"Tetapi kalau dengar berita tentang Malaysia didapati bilangan pekerjaan bertambah, peruntukan untuk rakyat terus ditambah oleh kerajaan," katanya.

Dalam hal itu beliau berkata, banyak lagi perkara dilakukan oleh kerajaan antaranya pendidikan percuma akan diberikan kepada semua rakyat pada tahun depan.

"Akhir bulan ini setiap pelajar sekolah akan mendapat RM100, awal tahun depan semua isi rumah yang berpendapatan RM3,000 ke bawah dapat wang tunai RM500 daripada kerajaan," katanya.

Sambil menegaskan bahawa Bajet 2012 yang dibentangkan oleh beliau baru-baru ini adalah bajet untuk rakyat, tiada sebab rakyat harus berasa hiba sebaliknya mereka perlu bersyukur kerana negara berada dalam keadaan aman dan makmur meskipun ekonomi dunia masih tidak menentu.

Perdana Menteri berkata, kerajaan berazam untuk melakukan yang terbaik dan tahun ini banyak masalah yang dihadapi oleh masyarakat berketurunan India dapat diselesaikan dalam tempoh singkat.

Katanya, kerajaan juga menyediakan tambahan RM100 juta bagi membaik pulih Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), pinjaman melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk kaum India berniaga dan menyelesaikan 3,300 masalah kewarganegaraan dan kad pengenalan.

"Banyak lagi yang akan kita selesaikan dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Kita ada jawatankuasa yang akan turun padang untuk selesaikan masalah ini, jadi tiada sebab masyarakat India tidak mahu menyokong kerajaan.

"Kita mungkin buat silap sedikit pada masa dahulu tetapi kita sudah pelajari kesilapan itu, hari ini pemimpin kita amat memahami kehendak kaum India, kita akan lakukan yang terbaik.

"Kami tidak akan memandang remeh sokongan masyarakat India. Untuk itu, kami akan terus bekerja keras bagi memastikan masyarakat India terus menyokong kerajaan. Kita akan menentukan 'nambikei' (kepercayaan) masyarakat India, kita akan bantu," katanya.

No comments:

Post a Comment