My Add

Sunday 13 November 2011

Mahasiswa aktif politik tidak abai pengajian - Khairy

AHAD, 13 November, 2011: Mahasiswa yang diberi kebebasan untuk menceburi bidang politik diyakini tidak akan mengabaikan pengajian mereka, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, ini kerana mahasiswa yang berpolitik mempunyai pandangan yang luas dan terbuka serta mempunyai sikap yang sihat.

"Saya aktif dalam bidang di luar akademik ketika di universiti tetapi saya juga beri tumpuan pada akademik malah ia bantu saya untuk berfikiran lebih kreatif dan kritis.

"Kalau beri kebebasan pun majoriti pelajar universiti tidak minat politik, ia sebahagian kecil sahaja. Kita boleh beri nasihat supaya kalau mereka nak terlibat dalam politik keutamaan adalah pengajian mereka,” katanya selepas merasmikan saringan zon tengah pertandingan pidato politik Piala Perdana Menteri di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, hari ini.

Khairy berkata, ramai mahasiswa yang ingin menyertai perjuangan UMNO tetapi disebabkan kekangan undang-undang di negara ini mereka tidak dapat merealisasikan hasrat itu.

"Kita jangan fikir bila beri mereka peluang untuk berpolitik mereka akan terus anti-kerajaan atau menentang kerajaan. Mereka ada sikap sihat untuk soal dasar kerajaan tetapi ini tidak bermakna mereka menentang kerajaan, ramai yang punyai fikiran kritis tetapi sokong kerajaan,” katanya. 

8,000 siswazah SL1M mula kerja hujung 2013

Menurut laporan Bernama, kumpulan pertama siswazah menganggur seramai 8,000 orang yang menyertai Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) akan memulakan kerjaya mereka hujung tahun 2013

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop memeberitahu  5,000 siswazah berkenaan telah memulakan latihan di bawah skim itu di beberapa buah syarikat sejak Julai manakala 3,000 lagi pada September lepas.

"Mereka merupakan sebahagian daripada ribuan lepasan universiti yang masih belum mendapat pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian,” katanya kepada pemberita selepas majlis Tautan Kasih Ibu Tunggal Parlimen Tasek Gelugor di Tasek Gelugor, hari ini.

Nor Mohamed, yang juga Anggota Parlimen Tasek Gelugor berkata, setiap tahun kira-kira 90,000 mahasiswa tamat pengajian di universiti dan 70,000 daripada mereka berjaya mendapat kerja enam bulan selepas itu.

Bagaimanapun, 20,000 lagi gagal mendapat kerja selepas tempoh sama disebabkan kekurangan daripada beberapa aspek termasuk tiada kemahiran berkomunikasi dan tiada keyakinan. 

No comments:

Post a Comment