My Add

Monday 14 November 2011

Makmal halal di Bandar Enstek ditender hujung tahun ini

ISNIN, 14 November, 2011: Makmal kajian halal milik kerajaan yang akan dibina di Bandar Enstek, di Nilai akan mula ditenderkan hujung tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. 

Beliau berkata, pada masa ini, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) sudah mengenal pasti lokasi makmal itu dan dalam proses akhir sebelum projek tersebut boleh ditender.

"Kita juga sudah lihat rekaan awalnya (bangunan makmal), memang menarik dan kita mahu ia menarik kerana kedudukannya berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

"Makmal itu akan dibina, jika dilihat dari atas, dari kapal terbang, susunan bangunan makmal itu akan dilihat menyerupai logo halal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Ihtifal Institusi Pengajian Tinggi Asean 2011 hari ini. 

Menurut Bernama, Jamil Khir berkata, fasa pertama pembinaan makmal itu, yang menelan belanja RM27 juta, dijangka beroperasi menjelang 2014. 

"Buat masa sekarang, kita masih menggunakan makmal halal kita yang berada di Petaling Jaya," katanya. 

Mengenai program Ihtifal Institusi Pengajian Tinggi Asean 2011, Jamil Khir berkata, selain menambah ilmu pelajar, ia memberi pendedahan kepada mereka mengenai realiti sebenar kehidupan di luar kampus.

Katanya, ia juga boleh menjadi nilai tambah yang penting dalam meninggikan nilai seseorang mahasiswa serta dapat memberi impak dalam masyarakat apabila mereka menamatkan pengajian. 

"Salah satu pendekatan seperti bertilawah, berdebat dan bernasyid akan memberikan satu nilai pendedahan kepada pelajar universiti, lebih-lebih lagi di peringkat negara Asean, dan ini pastinya akan memberi nilai tambah yang amat bermakna," katanya. 

Seramai 225 peserta dari 22 institusi pengajian tinggi Asean seperti Thailand, Indonesia serta Brunei mengambil bahagian dalam program anjuran bersama Universiti Sains Islam Malaysia dan JAKIM. 

Program lima hari itu menyaksikan empat acara utama iaitu pertandingan debat bahasa Arab, tilawah al-Quran, nasyid serta perhimpunan belia Islam Sedunia. 

No comments:

Post a Comment