My Add

Monday 14 November 2011

Najib adakan mesyuarat produktif sebelum APEC

NAJIB ceria bersama Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama selepas menghadiri mesyuarat Perkongsian TransPasifik (TPP) sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Honolulu, hari ini. - Foto BERNAMA


ISNIN, 14 November, 2011: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan beberapa mesyuarat produktif sebelum sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang termasuk mengukuhkan hubungan dengan Russia, meningkatkan profil Malaysia di kalangan ketua pegawai eksekutif utama Amerika dann Apec dan yang paling penting rundingan pantas bagi Perkongsian Trans Pasifik (TPP).

Dalam mesyuarat bersejarah para pemimpin yang dihoskan oleh Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama pada pagi Sabtu, sembilan pemimpin TPP bersetuju perjanjian umum diselesaikan pada Julai 2012, kata Najib semasa merumuskan hari pertama mesyuarat di Honolulu..

Menurut Bernama, Najib memberitahu pemberita, beliau menekankan kepada rakan pemimpinnya yang pada dasarnya perjanjian perdagangan bebas TPP harus mempunyai hasil yang seimbang, mengambil kira keutamaan domestik serta isu-isu berkaitan dengan buruh, alam sekitar, pemerolehan kerajaan dan penyelesaian pertikaian.

Ini melibatkan interaksi dengan pemegang kepentingan agar perjanjian akhir TPP akan saling memberi faedah kepada semua pihak.

NAJIB  mengadakan perbincangan dengan Presiden Rusia, Dmitry Medvedev ketika kunjungan hormat bersama presiden itu sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Honolulu, Hawaii, kelmarin. – BERNAMA

Perdana Menteri berkata, beliau juga mengadakan mesyuarat dengan rakan sejawatannya dari Russia, Dmitry Medvedev, di mana Medvedev memaklumkan bahawa terdapat ruang untuk meningkatkan hubungan ke tahap yang lebih tinggi dalam bahagian seperti minyak sawit, pelancongan, perubatan dan pendidikan.

Sementara itu wartawan Utysan Malaysia, Zulkefli Hamzah melaporkan, Gagasan Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang terus mendapat sokongan masyarakat antarabangsa melangkah ke satu lagi tahap apabila Yayasan GMM akan dilancarkan di Kuala Lumpur pada Januari depan.

Najib berkata, yayasan yang berperanan mempromosi kefahaman mengenai kesederhanaan itu akan dilancarkan semasa persidangan antarabangsa pertama GMM yang dianjurkan oleh Alumni Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dari 17 hingga 19 Januari depan.

Menurutnya, persidangan dan penubuhan yayasan itu tepat pada waktunya semasa sokongan masyarakat antarabangsa terhadap gagasan kesederhanaan semakin meningkat momentumnya.

“Bagaimanapun, usaha ke arah kesederhanaan ini akan gagal jika kita - pemimpin kerajaan, ahli perniagaan, gereja dan universiti hanya melihatnya sebagai gagasan akademik,” katanya.

Berucap di hadapan 300 pelajar, pensyarah dan Alumni East-West Center (EWC) dan pemimpin tempatan di sini, Najib menegaskan bahawa suara majoriti mesti diutamakan dan diluahkan di seluruh pelosok dunia.

“Inilah masanya untuk kita golongan majoriti yang cintakan keamanan dan kesederhanaan, menuntut semula kedudukan kita yang sebenar,” katanya pada sesi khusus itu sempena kehadiran beliau ke Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang berakhir Ahad.

Najib yang pernah berada di EWC semasa mengikuti Persidangan Ahli Parlimen Mengenai Tenaga pada 1978, berkata, masyarakat antarabangsa perlu menyatakan dengan tegas pendirian mereka dalam menentang tindakan pelampau dan keganasan.

“Kita perlu pastikan suara kita didengari - bukan saja suara umat Islam yang bersikap sederhana, tetapi juga suara penganut agama Kristian, Hindu, Yahudi dan ateis yang berpendirian sederhana.” katanya.

Dalam pada itu semasa diminta menjelaskan maksud kesederhanaan pada sesi soal jawab, Perdana Menteri berkata, ia tidak perlu diperincikan kerana hanya akan menjadikannya kabur.

“Jika kita menentang keganasan, pelampau dan pembunuhan orang tidak berdosa, saya fikir itu sudah cukup untuk membuatkan dunia ini lebih selamat,” jelasnya.

GMM yang diketengahkan oleh Najib pada Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tahun lalu mendapat sokongan banyak pihak dengan terakhir diterima oleh negara-negara anggota Persidangan Ketua-Ketua Negara Komanwel (CHOGM) pada mesyuaratnya di Perth, bulan lalu. 

No comments:

Post a Comment