My Add

Friday 18 November 2011

Najib pamer kepimpinan hebat: Obama

NAJIB bersalaman dengan Obama ketika kedua-dua pemimpin menyertai persidangan berasingan ASEAN-Asia Timur sempena Sidang Kemuncak ASEAN di Nusa Dua, Bali, Indonesia, hari ini. - Foto AP

JUMAAT, 18 November, 2011: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sudah mempamerkan kepimpinan yang hebat bukan saja dalam terus meningkatkan ekonomi Malaysia tetapi juga kepimpinan dalam pelbagai forum pelbagai hala. 

Pemimpin Amerika itu berkata "kami mahu menjadi rakan yang akrab dengan Malaysia".

"Saya menghargai kerjasama luar biasa yang sudah kami terima dalam pelbagai isu...terima kasih banyak-banyak Perdana Menteri," kata Obama dalam ucapannya pada mesyuarat dua hala dengan Najib di Nusa Dua, Bali hari ini menjelang Sidang Kemuncak Asia Timur, esok.

Presiden AS itu berkata, mesyuarat dua hala itu akan membolehkan kedua-dua negara membincangkan bagaimana mereka dapat memanfaatkan sebaik mungkin Sidang Kemuncak Asia Timur untuk menjamin kemakmuran dan keselamatan bersama di seluruh rantau ini. 

Obama berkata, mesyuarat itu juga akan membolehkan kedua-dua pihak memperluaskan perbincangan mengenai hubungan dua hala mereka, menyifatkannya sebagai "kukuh" serta kerjasama yang dapat dilihat melalui isu seperti Perkongsian Trans-Pasifik (TPP). 

Beliau turut menyentuh mengenai interaksinya dengan Najib di forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Hawaii baru-baru ini. 

"Saya hanya ingin menyatakan betapa saya berbesar hati dapat sekali lagi bertemu dengan Perdana Menteri Najib. Kami sudah berbual dan mengadakan perundingan yang baik pada persidangan APEC yang kami hoskan di Honolulu," katanya. 

Najib, dalam kenyataannya berkata AS adalah rakan perdagangan keempat terbesar dan secara asasnya masih pelabur terbesar di Malaysia. 

"Kami amat mengalu-alukan untuk memperluaskan rangkaian perdagangan dan pelaburan. Dan menerusi TPP, diharapkan, kami dapat memenuhi tarikh akhir tahun depan," katanya. 

Najib berkata, Kuala Lumpur melihat terdapat banyak prospek daripada segi peningkatan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara. 

"Dan pastinya kami bersedia untuk menjalin kerjasama dalam bidang-bidang lain yang berkenaan," katanya. 

Mesyuarat dua hala

Sementara itu, Bernama melaporkan Najib Razak, dan Obama, hari ini mengadakan mesyuarat dua hala di luar Sidang Kemuncak Asia Timur, esok. 

Dalam kenyataan pembukaannya, Obama berkata mesyuarat dua hala itu akan membolehkan kedua-dua negara membincangkan mengenai bagaimana mereka dapat memanfaatkan sebaik mungkin Sidang Kemuncak Asia Timur untuk menjamin kemakmuran dan keselamatan bersama di rantau itu.

Beliau berkata, hubungan AS dan Malaysia adalah kukuh dan dapat dilihat melalui isu seperti Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

"Saya menghargai kerjasama luar biasa yang kami terima..., kami mahu menjadi rakan yang akrab dengan Malaysia," katanya. 

Presiden AS itu berkata, kepimpinan Najib berjaya meneruskan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia. 

Najib, dalam kenyataannya pula berkata, Malaysia bersedia memperluaskan rangkaian perdagangan dan pelaburan dengan TPP. 

"Diharapkan kami dapat memenuhi tarikh akhirnya tahun depan. Kami melihat terdapat prospek besar daripada segi peningkatan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara kita. Kami bersedia untuk bekerjasama dalam bidang lain juga," katanya. 

Perdana Menteri berkata, Malaysia juga amat komited dalam memastikan keamanan dan kestabilan dalam bidang pengawalan senjata nuklear dan turut mengambil langkah dalam memastikan Malaysia tidak menjadi pusat transit bagi barangan larangan yang boleh digunakan bagi pembuatan senjata nuklear. 

AS, kata Najib, adalah rakan perdagangan keempat terbesar dan pelabur terbesar di Malaysia. 

Mesyuarat dua hala itu turut dihadiri Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton; Timbalan Ketua Staf mengenai Dasar, Nancy-Ann DeParle'; Penasihat Keselamatan Negara, Tom Donilon; dan Penolong Setiausaha bagi Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik, Jabatan Negara, Kurt Campbell. 

Delegasi Malaysia termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Mohd Radzi Abdul Rahman dan Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis. 






No comments:

Post a Comment