My Add

Monday 14 November 2011

Pembangkang dakwa berlaku penyelewengan dalam SOPIC

ISNIN, 14 November, 2011: Seorang pembangkang Selangor hari ini mendakwa penyalahgunaan kuasa dalam Selangor Oil Palm Industry Sdn. Bhd. (SOPIC), anak syarikat Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) semasa perbahasan Belanjawan 2012 di sidang Dewan Undangan Negeri.

Abdul Shukor Idrus (BN-Kuang) berkata, difahamkan SOPIC yang terlibat dalam perladangan kelapa sawit telah berhenti beroperasi pada tahun 2009 kerana tidak dapat menjana keuntungan sedangkan harga kelapa sawit di pasaran adalah lumayan.

Beliau berkata, SOPIC mempunyai wang tunai RM20 juta sewaktu ia menghentikan operasinya dan difahamkan semua kakitangan SOPIC telah ditamatkan perkhidmatan dan dibayar pampasan, lapor Bernama.

Bagaimanapun, menurutnya SOPIC melalui Ketetapan Pekeliling Lembaga Pengarah pada 19 Julai tahun lepas meluluskan projek pembinaan kandang lembu susu di Jelutong Jati, Sabak Bernam bernilai RM1.38 juta untuk dilaksanakan oleh sebuah syarikat.

Abdul Shukor mempersoalkan macam mana sebuah syarikat yang tidak lagi beroperasi boleh melantik kontraktor dengan nilai projek jutaan ringgit.

Dakwanya, syarikat yang sama juga telah diberikan kontrak bernilai RM975,130 bagi melaksanakan projek ternakan ayam daging juga di Jelutong Jati tanpa melalui proses tender yang telus. 

No comments:

Post a Comment