My Add

Sunday 13 November 2011

Penyenaraian FGVB: Aset, insentif peneroka terjamin

AHAD, 13 November, 2011: Kerajaan memberi jaminan bahawa warga peneroka Felda tidak akan kehilangan aset dan insentif yang diterima ketika ini setelah penyenaraian Felda Global Ventures Sdn. Bhd. (FGVB) di Bursa Malaysia menjelang pertengahan tahun depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, kerajaan memberikan jaminan ini kerana timbul kebimbangan di kalangan sebilangan kecil peneroka Felda berhubung penyenaraian itu yang dikhuatiri akan menjejaskan pemilikan tanah selain penerimaan bonus, duit raya dan dividen Koperasi Permodalan Felda.

"Apa yang peneroka dapat sebelum ini kita memberi jaminan mereka akan terus menikmatinya malah akan memperoleh lebih banyak keuntungan.

"Kita tidak akan sentuh walau segenggam pun tanah peneroka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Semai Bakti Majlis Belia Felda Malaysia di Felda Chini 2 dekat Pekan, hari ini, lapor Bernama.

Beliau berkata, kira-kira 500,000 hektar ladang milik peneroka tidak akan dilibatkan dalam proses penyenaraian itu dan kekal menjadi milik mereka.

Katanya, Felda bagaimanapun berkemungkinan akan melibatkan tanah ladang milik mereka yang diuruskan Felda Plantation ketika ini seluas 360,000 hektar melalui kaedah pajakan kepada pemegang pajakan.

"Ini belum keputusan akhir...ia masih di peringkat penelitian dan perbincangan kerana kita masih ada masa sebelum penyenaraian pertengahan tahun depan,” katanya. 

No comments:

Post a Comment