My Add

Sunday 20 November 2011

Pihak cuba politikkan isu tahanan ISA tidak bertanggungjawab

AHAD, 20 November, 2011:
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyelar pihak yang mempolitikkan isu penahanan 13 individu di Tawau, Isnin lalu, dan menyifatkan golongan itu tidak bertanggungjawab dan berbahaya kepada negara.

Beliau menegaskan, pihaknya mempunyai asas menahan individu berkenaan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bertujuan melindungi negara daripada ancaman serius pengganas.

Hishammuddin berkata, ‘roh’ ISA telah dimansuhkan tetapi ia wajar digunakan sebelum diganti dengan akta baru pada Mac tahun depan yang akan memberi tumpuan khusus kepada langkah membanteras aktiviti pengganas.

“Dalam konteks keganasan, tidak ada mana-mana pihak yang boleh menyatakan kita tidak perlu undang-undang mengawal mereka (pengganas) ini yang tidak takut mati, malah mahu mati jihad.

“Saya lihat mereka yang cuba mempolitikkan (penahanan), golongan tidak bertanggungjawab dan jika kita anggap pengganas tadi sebagai mereka yang merbahaya, orang mempolitikkan isu ini juga merupakan golongan merbahaya,” katanya selepas merasmikan Program Pemimpin Bersama Rakyat di Felda Bukit, Tongkat, Kluang. semalam. 

Mingguan Malaysia melaporkan,, Hishammuddin memberitahu, kes penahanan individu itu melibatkan rangkaian tiga negara dengan pengikut mereka yang tidak takut mati kononnya atas nama jihad.

Jelasnya, senjata dirampas juga adalah dalam jumlah yang banyak dan diperoleh dari luar negara sekali gus menimbulkan ancaman serius kepada Malaysia.

Pada masa sama, beliau turut menyelar tindakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang mahu kerajaan membebaskan tahanan itu seperti dilaporkan portal berita, The Malaysian Insider hari ini.

Beliau berkata, Suhakam membuat kenyataan tidak bertanggungjawab tanpa mendapat fakta daripada pihaknya mengenai ancaman keganasan dan sewajarnya suruhanjaya itu bersifat lebih realistik dalam mengimbangi antara perjuangan hak asasi dan keselamatan negara.

“Datang jumpa dengan kita. Kita tak ada halangan jika mereka (Suhakam) dapat simpan rahsia untuk kita kongsi maklumat tetapi hendak membuat satu kenyataan tanpa mengetahui latar belakang fakta, hendak membebaskan mereka yang cukup berbahaya, itu merupakan satu kenyataan kalau betul cukup tidak bertanggungjawab oleh Suhakam.

“Kalau betul mereka nak suruh kita bebaskan tanpa soal siasat, tanpa mengetahui faktanya, biar rakyat menilai sendiri ke mana Suhakam sekarang ini,” katanya.

Hishammuddin berkata, negara yang kononnya kuat memperjuangkan hak asasi manusia seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia turut mempunyai akta khusus untuk memerangi pengganas, antaranya The Patriots Act dan The Terrorism Act.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bakal diperkasakan seiring penghapusan ISA kerana ancaman keganasan kini tidak lagi hanya bertumpu di hutan tetapi turut berada di bandar-bandar.

No comments:

Post a Comment