My Add

Sunday 20 November 2011

PM sentuh persediaan pilihan raya, transformasi politik


NAJIB melancarkan Konvensyen Media Sosial 1Malaysia menerusi tablet iPad di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Rosdan Wahid



ISNIN, 21November, 2011:
AMANAT khas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak, yang julung kali diadakan khas bagi sayap Pemuda dan Puteri di Kuala Lumpur ,hari ini, antara lain menekankan usaha transformasi politik serta persediaan parti menjelang pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein berkata, amanat yang disampaikan Najib itu menetapkan rentak bagi membentuk minda dan suasana menjelang Perhimpunan Agung UMNO yang akan bermula 29 November ini.

Amanat itu adalah permulaan yang cukup baik bagi perhimpunan yang akan diadakan nanti, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berkenaan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, amanat yang disampaikan Presiden khas kepada Pemuda dan Puteri itu merupakan satu program yang julung kali diadakan bagi mengingatkan kepada ahli parti generasi muda tentang pelbagai perkara terutama berhubung perpaduan di semua peringkat parti.

"Pada kebiasaannya, apabila Perhimpunan Agung UMNO, tidak ada ruang untuk Presiden bertemu dengan semua perwakilan terutama yang muda. Namun pada program kali ini ia membolehkan generasi muda mendengar sendiri mesej yang disampaikan oleh Presiden secara menyeluruh," katanya.  

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan pula berkata, amanat Presiden itu menunjukkan bahawa semua ahli parti terutama orang muda perlu menyediakan diri sebagai jentera serta bala tentera kepada parti terutama bagi menawan semula negeri-negeri yang kalah pada pilihan raya umum lalu.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin berkata, amanat yang julung kali diadakan sebelum Perhimpunan Agung UMNO itu merupakan permintaan khusus kedua-dua sayap parti bagi memberi suntikan motivasi, memandangkan pengundi muda merupakan faktor penentu dalam PRU13.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pula berkata, apa yang disampaikan oleh Najib itu menjadi panduan kepada golongan muda yang berada di dalam parti bagi menghadapi PRU13 yang boleh memberikan impak kepada sokongan generasi muda untuk kembali menyokong UMNO dan BN.

  ‘Winnable candidates’ BN perlu diterima generasi muda - Najib

Sementara itu, semasa melancarkan Konvensyen Media Sosial 1Malaysia, yang julung kali diadakan, dihadiri lebih 2,000 pengamal media sosial, Najib menyentuh mengenai kriteria calon boleh menang

Menurutnya, antara kriteria “winnable candidates” (calon boleh menang) Barisan Nasional (BN) adalah mereka yang diterima oleh generasi baru yang merupakan penentu pilihan raya umum akan datang.

Katanya, selain itu, calon BN juga perlu memanfaatkan teknologi baru untuk menyampaikan mesej kepada rakyat, terutama golongan generasi muda ini yang menggunakan saluran alam maya untuk menerima maklumat mengenai perkembangan semasa baik di dalam atau di luar negara.

Pengerusi BN dan juga Presiden UMNO itu berkata, pemimpin dan calon BN yang aktif dalam menggunakan teknologi baru ini serta saluran alam maya akan diberikan markah bonus.

"Kita kumpulkan bonus poin ini. Kita hendak ”winnable candidates” jadi calon, termasuk yang diterima generasi baru, kerana generasi baru penentu pilihan raya,” kata Perdana Menteri.

BN perlu manfaat teknologi baru

Barisan Nasional (BN), terutama para pemimpinnya, perlu memanfaatkan teknologi baru dalam menyampaikan mesej kepada rakyat bagi memastikan parti itu sentiasa relevan, kata Najib.

Menurutnya, ini kerana sebahagian besar masyarakat, terutama sekali golongan muda, menggunakan saluran alam maya, termasuk media sosial, sebagai saluran utama untuk menerima maklumat mengenai apa jua perkembangan yang berlaku, baik di dalam mahupun di luar negara.

"Sumber maklumat yang diterima dari alam maya ini boleh membentuk minda generasi baru, dan untuk kita menangi hati dan fikiran rakyat serta merasai denyutan nadi rakyat.

"Maka alam maya dan media sosial inilah yang merupakan wahana dan kaedah yang paling utama yang sepatutnya kita guna pakai untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat, dan sambil itu, untuk kita menilai pandangan dan sikap rakyat terhadap kerajaan,” katanya.

Pada majlis itu, Najib turut melancarkan Kelab Sukarelawan Media Sosial 1Malaysia MyVoice yang dianggotai oleh para pengamal media sosial yang diiktiraf beliau “sebagai para pejuang dan bala tentera baru BN, yang bergerak di alam maya”. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment