My Add

Wednesday 16 November 2011

Populariti Najib naik, Anwar, Nik Aziz, Guan Eng merosot

             
              Najib Razak
      










Dr Mahathir terus kekal popular  

RABU, 16 November, 2011: Populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meningkat dengan mantap sejak 2009 tetapi sebaliknya berlaku kepada tiga pemimpin utama pembangkang, demikian menurut kajian oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Selain daripada Najib, kajian terhadap populariti lima personaliti kepimpinan di Malaysia yang dijalankan    oleh Unit Kajian Media dan Pilihan Raya UIAM menunjukkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terus kekal popular walaupun berundur pada 2003 manakala Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, menyaksikan populariti mereka merosot.
Prof Datuk Syed Arabi Idid daripada Jabatan Pengajian Komunikasi UIAM, mengetuai kajian itu dari Mac 2008 hingga Julai 2011 bersama penyelaras penyelidikan, Azrul Hisyam Wakichan.

Menurut laporan Bernama, satu sampel rambang purata 1,500 responden terdiri pengundi Melayu, Cina dan India dari seluruh negara ditanya mengenai kepuasan mereka terhadap kualiti kepimpinan kelima-lima pemimpin itu 

Kajian itu menunjukkan peningkatan dalam populariti Najib adalah hasil usaha berterusan beliau untuk mendekati hati rakyat dan memimpin negara ke arah masa depan yang lebih cerah. 

"Kajian ini dengan jelas menunjukkan responden Melayu, Cina dan India kini menerima Datuk Seri Najib," katanya. 

Pada Oktober 2008, 35 peratus responden Melayu, 33 peratus Cina dan 41 peratus India menunjukkan yang mereka puas hati atau sangat puas hati dengan Najib tetapi menjelang Julai 2011, penerimaan masing-masing meningkat kepada 59 peratus, 45 peratus dan 62 peratus.

"Hakikatnya rakyat kini lebih bersedia menerima Datuk Seri Najib sebagai pemimpin mereka," kata Syed Arabi yang menjalankan kajian mengenai populariti pemimpin-pemimpin sejak 1989. 

Mengenai punca kemerosotan populariti Anwar, Nik Aziz dan Lim, beliau berkata, ia banyak berpunca kerana isu-isu semasa dan kegagalan untuk mencapai kata sepakat dalam banyak hal. 

Azrul Hisyam, yang menyelaras kajian itu, berkata kajian yang sama mendapati rakyat Malaysia masih memandang tinggi Dr Mahathir dan segala sumbangannya. 

Purata 74 peratus daripada responden dalam soal selidik itu menunjukkan mereka menyanjungi Dr Mahathir sepanjang kajian empat tahun itu. 

Azrul Hisyam berkata, rakyat Malaysia melihat Dr Mahathir sebagai pemimpin yang telah membuktikan kebolehannya dan masih lantang bersuara. 

"Mereka melihat beliau sebagai pemimpin teladan," katanya.

Hanya pertemuan biasa: Najib

Sementara itu Najib menjelaskan pertemuan beliau bersama pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) di Seri Perdana di Putrajaya malam tadi bukan berhubung pilihan raya umum.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, ia adalah perjumpaan biasa untuk bertukar fikiran berhubung isu semasa.

"Ia tiada kena mengena dengan pilihan raya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Bantuan Rumah melalui Projek Strategi Lautan Biru Kebangsaan 3 di Perkampungan Orang Asli Tanjung Sepat, Kuala Langat, pagi tadi.


No comments:

Post a Comment