My Add

Tuesday 15 November 2011

Istana Negara ”lama” ditutup, Istana Negara “baru” dibuka

SKUADRON Istiadat Berkuda daripada Kor Armor Diraja berarak dari pekarangan Istana Negara baru apabila selesai istiadat menaikkan bendera di Istana Negara lama, hari ini. Antara pelancong yang berada di situ tidak melepaskan peluang mengambil gambar di pintu hadapan Istana Negara yang baru. - Foto Sairien Nafis

DATUK Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Tengku Farok Hussein Tengku Abd Jalil mengunci pintu gerbang Istana Negara yang lama sebagai simbolik selepas berpindah ke Istana Negara yang baru di Jalan Duta selepas istiadat menurunkan bendera, hari ini. - Foto Aizuddin Saad.

SELASA,15 November 2011: Apabila pintu masuk utama ke Istana Negara di Jalan Istana di sini dikunci pagi tadi, ia menandakan tempat bersemayam semua Yang di-Pertuan Agong sejak kemerdekaan negara itu, mengakhiri fungsinya secara rasmi hari ini.

Majlis penuh istiadat itu bermula 9 pagi dengan perarakan masuk anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diiringi pasukan pancaragam pusat RAMD, lapor Benama.

Kumpulan penurun bendera terdiri daripada 10 anggota RAMD kemudian menurunkan bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong sambil diperdengarkan tiupan paluan akhir yang bertujuan memaklumkan bahawa Istana Negara akan berpindah ke Istana Negara di Jalan Duta.

Istiadat diteruskan dengan perarakan kumpulan penurun bendera bersama pasukan istiadat berkuda ke pintu masuk utama istana bagi menyerahkan bendera berkenaan kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Tengku Farok Husin Tengku Abdul Jalil, mewakili pihak Istana Negara menandakan berakhirnya penugasan di Istana Negara.

Penyerahan bendera itu dilakukan oleh Pemangku Pegawai Memerintah Batalion Pertama RAMD Mejar Mohd Kadri Abu Bakar.

Sebagai simbol penutupan bangunan yang tersergam indah dan ditandai dua kubah emas itu, Tengku Farok Husin kemudiannya mengarahkan Bentara Istana Negara, Rosli Asri, mengunci pintu masuk utama istana menandakan segala tugas telah tamat di Istana Negara sebelum mengorak langkah ke Istana Negara Jalan Duta bagi istiadat menaikkan bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong.

No comments:

Post a Comment