My Add

Saturday 19 November 2011

Syarat bank ketat

Oleh Shahrizan Salian

* Berkuat kuasa 1 Januari 2012
* Bank perlu beri maklumat terperinci pinjaman
* Ambil kira pendapatan bersih

SABTU, 19 November, 2011: Institusi kewangan tempatan akan membuat penilaian lebih ketat terhadap kemampuan pembayaran balik individu yang memohon mendapatkan pembiayaan, berkuat kuasa 1 Januari depan.

Menurut laporan Berit Harian, di bawah garis panduan baru Bank Negara Malaysia semalam, institusi kewangan kini perlu mengambil kira pendapatan bersih, iaitu selepas ditolak potongan wajib seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), potongan cukai berjadual (PCB) serta semua tanggungan hutang lain ketika menilai kemampuan pemohon membayar balik pinjaman.

Sebelum ini institusi kewangan hanya mengambil kira jumlah pendapatan kasar.

Bagi memastikan seseorang pemohon pinjaman benar-benar memahami implikasi tanggungan pembiayaan yang bakal diambil, seterusnya membantu mereka membuat keputusan yang betul, garis panduan itu turut menetapkan supaya institusi kewangan memberikan maklumat terperinci mengenai produk pembiayaan yang dimohon.

Ia termasuk jumlah bayaran balik yang perlu diselesaikan peminjam, jumlah kos kadar faedah yang akan ditanggung sepanjang tempoh pembiayaan, serta kesan kenaikan kadar faedah terhadap pembiayaan yang diambil.

Garis panduan itu akan digunakan institusi kewangan bagi semua permohonan baru yang dibuat oleh individu dan pemilik tunggal perniagaan untuk produk pembiayaan rumah, kenderaan, kad kredit dan kad caj, pembiayaan peribadi termasuk overdraf serta pembiayaan untuk membeli saham kecuali pembiayaan margin saham yang tertakluk kepada peraturan Bursa Malaysia.

Bagi pembiayaan kereta, selain penilaian kemampuan bayaran balik pemohon yang lebih ketat, garis panduan itu turut mengehadkan tempoh pembayaran balik maksimum sembilan tahun.

Syarat yang berkuat kuasa serta-merta itu dibuat kerana Bank Negara berpendapat, tempoh pembiayaan maksimum itu adalah sesuai dengan jangka hayat purata sesebuah kenderaan.

Ketika ini ada institusi kewangan yang menawarkan tempoh bayaran balik yang lebih panjang.

Bank Negara dalam kenyataannya semalam berkata, garis panduan baru itu diperkenalkan bertujuan menggalakkan amalan memberikan pembiayaan secara berhemah, bertanggungjawab dan telus di kalangan institusi kewangan tempatan.

Bank pusat itu berkata, selain institusi kewangan yang diletakkan di bawah skop Bank Negara, Suruhanjaya Koperasi akan turut melaksanakan garis panduan itu ke atas semua koperasi yang menyediakan pembiayaan kepada ahlinya.

Setakat akhir tahun lalu, pinjaman yang dikeluarkan kepada isi rumah berjumlah RM74.4 bilion dengan majoritinya adalah bagi tujuan membeli aset seperti rumah dan kenderaan.

No comments:

Post a Comment