My Add

Saturday 12 November 2011

Syor mungkin boleh dilaksanakan sebelum PRU-13

SABTU, 12 November, 2011: Ahli Parlimen Hulu Selangor P. Kamalanathan tidak menolak kemungkinan bahawa syor-syor atau cadangan yang dikemukakan pihak tertentu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya dapat dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13. 

Kamalanathan, yang juga salah seorang anggota PSC berkata, oleh itu sebarang tuduhan pihak tertentu kononnya proses penambahbaikan proses pilihan raya tidak akan dijalankan sebelum PRU-13 adalah dangkal dan tidak berasas sama sekali.

Katanya, masa untuk melaksanakannya masih panjang kerana penggal pemerintahan kerajaan sedia ada masih berbaki dua tahun lagi iaitu sehingga 2013.

"Sehubungan itu, apa yang perlu dipercepatkan? Biarlah ahli-ahli PSC ini menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik-baiknya.

"Soal sama ada sempat atau tidak pembaharuan dilakukan ke atas proses pilihan raya, jawapan saya kepada mereka ialah... mengapa tidak?” kata beliau ketika ditemu ramah dalam Program Kerusi Panas, terbitan Bernama Radio24, semalam.

Perluas definisi pembantu pengundi cacat penglihatan

Sementara itu, Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) hari ini mahu supaya definisi ”ahli keluarga terdekat” dalam Akta Pilihan Raya diperluas bagi mempermudah urusan golongan itu ketika pilihan raya.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Penilaian SBM, Loh Kong Ken berkata, selain memastikan pengundi orang kelainan upaya (OKU) penglihatan dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi, pindaan itu juga perlu bagi memastikan undi yang dibuat oleh golongan berkenaan benar-benar rahsia.

"Umumnya pengundi OKU penglihatan tidak menghadapi masalah mengundi bersama dengan ”ahli keluarga terdekat”.

“Tetapi terdapat kes di mana kehendak seseorang pengundi OKU penglihatan tidak dipatuhi oleh ”ahli keluarga terdekat” mereka sendiri,” katanya.

Kong Ken berkata demikian pada sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang diadakan buat pertama kalinya di Parlimen, semalam.

SBM dengan itu menyeru SPR agar membenarkan pengundi di kalangan OKU penglihatan untuk membawa seorang ”rakan yang dipercayai” sebagai pembantu mereka semasa mengundi. 

No comments:

Post a Comment