My Add

Tuesday 15 November 2011

Tolak bina surau baru


 



AZIZAN Abdul Razak pada majlis pecah tanah Kompleks Aman Central di Alor Setar, semalam.







Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
SELASA, 15 November, 2011: Kehadiran Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan beberapa anggota Exco kerajaan negeri ke majlis pecah tanah projek pembangunan Kompleks Membeli-belah Aman Central di Alor Star, semalam, 'disambut' dengan demonstrasi aman.

Demonstrasi aman oleh kira-kira 30 kariah Madrasah Sahiliah Kanchut, Jalan Tambang Badak di sini itu bertujuan membantah tindakan Kerajaan Pas Kedah membenarkan pengambilan tapak dan bangunan madrasah berstatus wakaf khas berkenaan untuk projek pembangunan.

Utusan Malaysia melaporkan, sambil membawa pelbagai sepanduk, mereka berhimpun kira-kira 30 meter di hadapan tapak majlis selepas 15 minit acara bermula pada pukul 9.30 pagi dan melaungkan kata-kata bantahan bagi menyuarakan kekecewaan mereka terhadap tindakan tersebut.

Demonstrasi itu berlangsung selama 10 minit sebelum disuraikan polis yang awal-awal lagi membuat kawalan di sekitar tapak majlis kerana tunjuk perasaan itu tidak mempunyai permit.

Difahamkan, kariah madrasah berkenaan tetap menolak cadangan kerajaan negeri dan bertekad mempertahankan madrasah itu daripada dirobohkan walaupun notis mengosongkan bangunan daripada kerajaan negeri berakhir Khamis lalu.

Wakil madrasah, Mansor Ahmad berkata, mereka bertegas enggan berpindah dari tapak asal premis tersebut walaupun surau Madrasah Sahiliah akan digantikan dengan sebuah surau di tingkat bawah kompleks membeli-belah itu akan dibangunkan di situ tidak lama lagi.

Kata beliau, pihaknya mahu sebuah madrasah yang dibina berasingan daripada bangunan kompleks yang terletak antara 50 hingga 100 meter daripada tapak asal madrasah.

“Pembinaan surau di dalam kompleks itu adalah hal lain kerana sememangnya menjadi tanggungjawab pengurusan kompleks perlu menyediakan surau bagi kemudahan pengunjung.

“Kami tidak akan berganjak daripada premis madrasah itu selagi pemaju tidak membina bangunan surau yang baru bagi kemudahan ahli kariah menjalankan aktiviti agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas demonstrasi aman membantah tindakan Kerajaan Pas Kedah membenarkan pengambilan tapak dan bangunan madrasah itu bagi tujuan projek pembangunan di sini hari ini.

Terdahulu, ketika merasmikan majlis pecah tanah itu Azizan berkata, kerajaan negeri akan menggantikan Madrasah Salihiah Kanchut dengan surau baru di pusat membeli belah tersebut.

Menurutnya, pemaju projek akan membina surau itu di tingkat bawah kompleks dengan ciri-ciri Islam ditonjolkan pada persekitaran surau tersebut dan mampu menampung 400 jemaah pada satu-satu masa.

Katanya, perkara tersebut sudah mendapat persetujuan Majlis Fatwa negeri manakala Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) yang merupakan pemegang amanah tanah wakaf serta masjid di negeri ini juga telah menerima pampasan sejumlah RM1.48 juta.

“Saya tidak nampak wujud apa-apa masalah. Kalau kita salah, tentu Majlis Fatwa negeri tak terima dan MAIK tak terima duit pampasan.

“Pembinaan surau baru itu akan lebih memudahkan pengunjung beragama Islam yang ke pusat beli belah ini untuk menunaikan solat tanpa perlu tergesa-gesa mencari surau,” katanya.

Jumaat lalu, Utusan Malaysia melaporkan pengurusan Madrasah Salihiah Kanchut merayu kerajaan negeri menangguhkan arahan pengosongan premis berusia 100 tahun itu bagi memberi laluan kepada pembangunan Plaza Tunku Yaacob.

No comments:

Post a Comment