My Add

Wednesday 16 November 2011

TPM persoal cadangan bina terowong RM8b di Pulau Pinang


MUHYIDDINmelihat kandungan ubat selepas melancarkan van Klinik Bergerak Puteri UMNO pada majlis sepetang Timbalan Perdana Menteri bersama Belia Wilayah Persekutuan di Kompleks Centrum Taman Setiawangsa di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

RABU, 16 November, 2011: Tinbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan rasional cadangan pembinaan laluan ketiga termasuk terowong di Pulau Pinang bernilai RM8 bilion, sedangkan projek Jambatan Kedua belum siap.

"Apa tujuan (Ketua Menteri, Lim) Guan Eng buat terowong, apakah maknanya sudah sesak sangat sehingga projek kedua (jambatan) yang kita sedang bina tidak dapat menyelesaikan masalah kesesakan bandar raya Georgetown.

"Sepatutnya kita benarkan dulu projek Jambatan Kedua siap, kita akan memerhatikan mungkin kesan daripada projek kedua itu sudah pun mencukupi, jadi apa perlu membelanja wang agak lebih besar yang dikatakan bernilai sekitar RM8 bilion,” katanya selepas majlis Sepetang Bersama Belia Wilayah Persekutuan sempena program turun padang sehari beliau ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Muhyiddin berkata, projek Jambatan Kedua, yang dijangka siap pada 2013, sudah mengambil kira unjuran kegunaannya bagi tempoh jangka panjang, lapor Bernama.

"Seperti jambatan pertama, setelah puluhan tahun, barulah kerajaan putuskan untuk bina (jambatan) yang kedua, jadi sekarang ini yang kedua pun belum lagi siap dan mungkin (kegunaannya) sudah diunjurkan untuk 10 hingga 20 tahun akan datang.

"Jadi, apakah perlunya projek itu, saya tak tahu. Mungkin dia kata ini hak dia, kerajaan negeri boleh membuat keputusan, itu terserah pada dia, tetapi rakyat harus membuat penilaian sama ada wajar atau sudah sampai masanya Pulau Pinang memerlukan terowong itu ataupun sudah mencukupi jambatan kedua untuk setidak-tidaknya bagi tempoh 10 atau 15 tahun akan datang,” katanya.

No comments:

Post a Comment